PETALING JAYA – Ribuan peserta ‘Himpunan 10K Solidariti Palestin’ meluahkan rasa puas hati apabila dibenarkan melaungkan takbir selain membawa sepanduk memaparkan wajah Presiden Israel ketika berarak di pusat bandar, hari ini.
Difahamkan, himpunan itu yang disertai lebih 10,000 orang berarak dari Masjid KLCC ke Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Kuala Lumpur.
Menerusi tinjauan Kosmo! di media sosial, rata-rata ramai membawa bendera Palestin selain pelbagai sepanduk bagi mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel.
“Ini baru betul himpunan, siap boleh bawa sepanduk dan laungkan takbir. Tahniah kepada mereka yang hadir,” kata Sallehudin.
“Himpunan solidariti terbaik yang pernah saya sertai. Terbaik penganjur,” ujar Rasfariza.
“Alhamdulillah. Himpunan terbaik. Tak perlu bimbang melaungkan takbir,” jelas Zed Zailie.
“Terbaik kepada peserta yang hadir. Semoga doa-doa dan semangat dari anda semua dapat dirasai penduduk Palestin,” kata Zulhilmi.
Walaubagaimanapun, terdapat segelintir pihak berpandangan sebaliknya dengan himpunan yang dianjurkan parti pembangkang itu.
“Menyusahkan rakyat sahaja, buatlah kat stadium. Memang (geng) pentingkan diri sendiri,” kata Alakazam.
“Bukan contoh yang baik. Himpunan sebegini tidak menyelesaikan masalah tapi negara luar akan melihat negara kita dengan pandangan yang negatif,” ujar Engkuang.
Justeru, ada juga individu yang bersikap lebih terbuka dan menasihatkan orang ramai agar mengenepikan perbezaan politik dalam situasi tersebut. – KOSMO! ONLINE