SABAK BERNAM – Ketukan tanpa salam yang menghantui penduduk empat buah kampung di daerah ini terus diselubungi misteri apabila ‘entiti’ itu memilih rumah yang ramai penghuni berbanding mereka yang tinggal seorang diri.
Rata-rata penduduk mendakwa mereka masih diganggu setakat malam kelmarin.
Seorang penduduk enggan dikenali berkata, mereka berasa bingung kerana masih belum mengetahui punca gangguan tersebut.
“Yang menjadi tanda tanya adalah bagaimana ‘pelakunya’ tahu rumah itu mempunyai ramai penghuni atau sebaliknya.
“Ramai kecoh mengenai kehadiran ‘pocong’ sehingga tular di media sosial. Dakwaan itu turut mengganggu keharmonian kampung walaupun belum dibuktikan mengenai kesahihannya,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Artikel berkaitan: https://www.kosmo.com.my/2020/11/21/ketukan-misteri-hantui-penduduk/
Dakwanya lagi, ada pihak yang mengaitkan kejadian misteri itu dengan bomoh yang dikatakan mahu menguji kebolehan ilmunya, namun dia menafikan perkara tersebut.
Ditanya sama ada wujud unsur khianat, dia tidak mahu menuduh mana-mana pihak dengan kegiatan itu.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Kampung Batu 37, Muhammad Nazri Saiman memberitahu, tiada sebarang kelibat ditemui semasa melakukan rondaan di sekitar kampung tersebut.
“Penduduk ada menghubungi saya beritahu yang rumahnya diketuk, namun setelah diperiksa tiada individu yang berada di luar (rumah),” katanya.
Justeru itu, beliau membuat laporan di Balai Polis Sabak Bernam supaya rondaan di kawasan kampung tersebut dapat ditingkatkan pada hari mendatang.
Dalam pada itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd. Tamyes Abd. Wahid berkata, kejadian ketukan misteri itu perlu disiasat secara menyeluruh bagi mengetahui puncanya.
“Sejujurnya saya berasa tidak selesa untuk mengulas mengenai kejadian ini. Siasatan perlu dilakukan sebelum kenyataan dikeluarkan oleh mana-mana pihak.
“Ada juga penduduk maklumkan kepada saya kejadian berlaku disebabkan kucing, jadi kena siasat betul-betul,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan penduduk di empat kampung di daerah ini dihantui misteri apabila kebanyakan mereka mendakwa diganggu bunyi ketukan pintu rumah sejak Rabu lalu.
Ketukan misteri tanpa salam itu berlaku pada waktu malam sehingga awal pagi di Kampung Batu 37, Kampung Batu 38, Kampung Tengah dan Kampung Banting sehingga menakutkan penduduk.