Ramai yang menyangka dia Melayu. Namun sebenarnya pemilik nama Ella anak Apit ini merupakan anak kelahiran Sarawak dan berketurunan Iban serta Dayak.
Meminati bidang peragawati sejak kecil, Ella menyimpan hasrat untuk menembusi pasaran antarabangsa dan bakal bertanding di International Miss Asia 2023 di India nanti.
Kepada Kosmo! Ahad Ella bercerita mengenai dirinya.
Kosmo! Ahad: Boleh ceritakan sedikit mengenai diri anda?
Ella: Nama saya Ella Anak Apit, berumur 26 tahun. Saya berasal dari Kapit, Sarawak. Berketurunan Iban dan Dayak selain merupakan anak kedua daripada lima beradik.
Bagaimana mula terlibat dalam pertandingan ratu cantik dan peragaan?
Sejak dari umur 10 tahun saya cukup minat dengan kecantikan, sehinggalah saya mengenal perkataan ‘peragawati. Sejak itu, dari sekolah rendah lagi saya selalu menyertai pertandingan ratu cantik si cilik dan mula memasuki bidang model sejak 2015 lagi sampai sekarang.
Dalam pada itu, saya sedang cuba mengembangkan diri untuk jadi lebih berani kerana impian saya selama ini ialah mahu menjadi seorang seniman Malaysia yang berkualiti. Jadi, saya melihat bidang ini boleh dijadikan sebagai batu loncatan untuk memulakan kerjaya saya dalam bidang seni.
Dalam tempoh ini juga pelbagai pertandingan telah saya sertai, atas usaha saya itu saya berpeluang memenangi beberapa kategori atau kejuaraan di setiap peringkat yang saya sertai. Sekarang saya menyahut cabaran untuk pergi ke peringkat antarabangsa, sebagai wakil Malaysia dari National Director Lucky Joe, dengan ini saya berharap penyertaan ini dapat memberi pengalaman baru semasa pertandingan International Miss Asia 2023 di India nanti.
Siapa idola Ella?
Idola saya ialah seorang lelaki yang paling saya sayang, iaitu bapa saya sendiri. Hingga sekarang, bapa saya tak pernah mengeluh untuk membesarkan kami adik-beradik. Bekerja dari siang ke malam demi membesarkan, menyekolahkan kami.
Ada minat bidang lain selain peragaan?
Saya sejak kecil memang meminati bidang peragaan sahaja, kerana itu impian saya.
Pernah disalah anggap berketurunan Melayu? Bagaimana Ella berdepan situasi itu?
Dari segi wajah atau penampilan memang kawan-kawan atau orang selalu salah anggap ingatkan saya orang Melayu malah ada yang ingat saya berbangsa Cina. Tetapi, disebabkan Sarawak ada ‘slang’ bahasa sendiri maka terserlahlah di situ saya ini anak Borneo. Tiada masalah pun orang salah anggap saya bangsa apa, saya berdepan dengan situasi ini dengan perasaan yang bangga dan seronok kerana orang Borneo memang pelbagai bangsa dan ramai kahwin campur.
Apa hobi ketika waktu lapang?
Saya suka memasak untuk kawan-kawan.
Ciri-ciri lelaki idaman Ella?
Setakat ini belum ada lagi terlintas di fikiran saya, tapi semestinya setiap wanita mahukan seseorang yang boleh terima diri kita dan keluarga kita seadanya.
Ada pengalaman bercinta yang tidak boleh dilupakan?
Pernah lalui pengalaman yang sedih dan membuatkan saya trauma untuk mengenali seseorang.