fbpx

‘Raja pemecah rekod’ sudah kembali

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IRFAN mengubati kekecewaannya pada Sukan Asia Hangzhou dengan meraih pingat emas Kejohanan Lemparan Asia 2023 di Mokpo City, Korea Selatan baru-baru ini.

JAGUH lempar cakera negara, Muhammad Irfan Shamsuddin seakan-akan sudah kembali menemui tahap terbaiknya berdasarkan prestasi yang ditampilkan ketika meraih pingat emas Kejohanan Lemparan Asia 2023 di Mokpo City, Korea Selatan baru-baru ini.

Irfan, 28, membuat lemparan sejauh 60.60 meter (m) untuk mengungguli acara itu, menewaskan pemenang pingat perak dari Jepun, Yuji Tsutsumi (56.98m) dan atlet Uzbekistan, Rashidbek Sodiqov yang meraih gangsa (54.86m).

Walaupun masih gagal me­madam rekod kebangsaan 62.55m pernah dilakukan Irfan di Linz, Austria pada 2017, namun jurulatihnya, Frantisek Petrovic tetap memuji persembahan bintang olahraga dari Negeri Sembilan itu.

“Kami menutup kalendar olahraga tahun ini dengan bergaya. Selain rekod (lontar peluru) kebangsaan daripada Jonah (Chang Rigan) tetapi Irfan juga memberikan persembahan hebat yang mana ini adalah prestasi kedua terbaiknya di Asia.

“Bukan sahaja kejayaan menjuarainya tetapi cara dia me­lakukannya pada kejohanan itu. Musim ini teknik lemparan Irfan sangat bagus. Saya berharap lebih ramai pakar dapat menghargai gaya lemparannya kerana ia sesuatu yang kita boleh usahakan bersama,” katanya.

Kejayaan itu secara tidak langsung mengubati kekecewaan Irfan selepas gagal menaiki podium pada Sukan Asia Hangzhou di China awal bulan ini apabila sekadar membuat lemparan sejauh 58.94m sahaja.

Pengarah Teknikal Kesatuan Olahraga Malaysia, Robert Ballard turut memuji peningkatan prestasi ditunjukkan Irfan yang pernah dilabel sebagai ‘raja pemecah rekod’ kerana tidak mengambil masa lama memperbaiki kesilapannya di Hangzhou untuk meraih pingat emas di Korea Selatan.

Secara keseluruhan, tahun 2023 boleh dianggap sebagai musim gemilang buat Irfan ke­rana dia turut berjaya meraih pingat gangsa Kejohanan Olahraga Asia yang berlangsung di Stadium Suphachalasai, Bangkok, Thailand pada Julai lalu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI