ALOR SETAR – Seorang kakitangan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) maut dipercayai akibat disambar petir di kawasan sawah padi yang dipenuhi air akibat hujan lebat sejak semalam di Kampung Gulau, Pokok Sena di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.17 petang itu, mangsa, Mohd. Tajuddin Yob, 49, maut di lokasi kejadian.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd. Zain berkata, anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Nerang tiba di lokasi kira-kira pukul 4.45 petang.
“Mangsa dipercayai disambar petir sebelum terjatuh ke kawasan sawah padi,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, anak mangsa, Nur Salwa Mohd. Tajuddin, 18, memberitahu, dia terkejut apabila mendapat tahu tentang kejadian menimpa bapanya itu.
“Kejadian dipercayai berlaku ketika ayah bekerja dan kemungkinan ayah meninjau kawasan sawah yang dilimpahi banjir untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di sini hari ini.
Katanya, bapanya tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum kejadian.
“Kehilangan ayah sangat mengejutkan kami sekeluarga kerana hanya ayah tempat kami bergantung,” tambahnya.
Mangsa meninggalkan seorang isteri berusia 46 tahun serta enam orang anak berusia antara tujuh hingga 21 tahun. – K! ONLINE