LONDON – Kapten Tottenham Hotspur, Son Heung-min memberi ingatan kepada rakan sepasukannya dan peminat kelab itu supaya tidak ‘lupa diri’ dengan pencapaian membanggakan mereka setakat ini.
Ia berdasarkan kejayaan Spurs berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini selepas menewaskan Crystal Palace 2-1 di Selhurst Park awal pagi semalam.
Aksi itu turut menyaksikan Heung-min meledak jaringan peribadi kelapannya musim ini selepas penyerang Korea Selatan tersebut meledak gol kemenangan Spurs pada minit ke-66.
“Saya ada pengalaman, jadi saya tidak boleh katakan kami akan memenangi liga. Sebaliknya kami perlu kekal merendah diri kerana saingan musim ini masih di peringkat awal.
“Kami hanya mahukan tiga mata di setiap perlawanan dan selepas itu kita akan lihat apa yang akan terjadi di penghujung musim nanti,” katanya.
Dalam aksi itu, Spurs meraih dua gol hasil jaringan sendiri Joel Ward pada minit ke-53 dan Heung-min (m-66), manakala Jordan Ayew menghadiahkan gol sagu hati buat Palace di penghujung perlawanan.
Prestasi baik itu juga menjadi permulaan paling cemerlang buat The Lilywhites dalam kempen EPL sejak kali terakhir mereka memenangi liga pada 1961.
Pengurus Spurs, Ange Postecoglou menganggap pencapaian setakat ini membolehkan semua orang mula bercita-cita besar dan berharap mampu mengakhiri musim dengan kejuaraan.
“Apa yang penting adalah kami berikan keceriaan kepada penyokong. Apabila pasukan mula mendapat momentum, tugas saya untuk mengekalkan prestasi dan saya fikir masih banyak yang perlu kami lakukan,” kata Postecoglou. – AGENSI