“KEDIAMAN besar berkeluasan 7,000 kaki persegi tidak terasa sunyi bagi saya,” ujar Nisa (bukan nama sebenar) kepada Panorama sebaik sahaja membuka cerita.
Menurutnya, ramai yang mengandaikan bahawa dia kesunyian memandangkan dirinya dilihat tidak ubah seperti trophy wife (isteri trofi) semata-mata setiap kali melihat dirinya memuat naik gambar bersama suami.
Untuk pengetahuan, trophy wife merupakan istilah bagi seorang wanita muda dan cantik yang menjadi isteri kepada lelaki kaya sebagai simbol status sosial lelaki itu agar kelihatan gah di mata khalayak.
Tidak menolak dakwaan itu, wanita berasal dari Kedah itu mengakui memanfaatkan usia muda dan kecantikannya sebagai salah satu batu loncatan untuk kehidupan lebih mewah.
Nisa menikahi suaminya, Megat (bukan nama sebenar) ketika dia berusia 21 tahun, manakala suaminya berusia 60 tahun.
Akui Nisa, rupa dan personaliti bukanlah ciri utama yang membuatnya memilih Megat sebagai suami, tetapi ‘poketnya’ yang tebal.
“Saya tidak nampak kenapa saya harus malu dengan keinginan saya untuk hidup senang setelah membesar dalam keluarga susah.
“Saya yakin kebanyakan orang yang menentang saya berbuat demikian kerana mereka belum pernah dibentang dengan peluang sedemikian,” ungkap Nisa.
Biarpun sering digelar pisau cukur, manakala Megat digelar ‘pedophile’ oleh saudara-maranya, tetapi Nisa tidak ambil peduli.
Bahkan, dia mengambil keputusan untuk tidak menjemput sebahagian besar ahli keluarganya pada majlis perkahwinan tertutup mereka pada sekitar tahun 2018.
Bukan mahu menjadi kacang lupakan kulit, namun dia perlu melepaskan golongan-golongan yang toksik dan penuh hasad dengki.
Kini, kehidupannya mewah dan sering dihujani pelbagai barangan berjenama serta percutian lima bintang ke serata dunia.
Senarai rakan-rakannya juga bertukar kepada pereka, jurugambar, pemilik perniagaan dan selebriti terkenal.
Jelas Nisa, Megat memilih untuk menikahinya setelah tertarik dengan kualiti yang ada pada dirinya.
“Megat memerlukan teman memandangkan isterinya telah lama meninggal dunia dan anak-anaknya sudah bawa haluan masing-masing.
“Megat tertarik dengan kecantikan dan kepetahan saya yang sering menjadi pujian rakan-rakannya di majlis sosial,” katanya.
Berkongsi detik pengenalan mereka, Nisa akui Megat menegurnya terlebih dahulu ketika dia bertugas sebagai pelayan sebuah restoran kelab golf di ibu kota.
Namun, hubungan antara pelanggan dan pelayan restoran berubah menjadi lebih mesra.
Nasihat Nisa, wanita yang mengahwini lelaki dengan status sosial tinggi perlu akur dengan ‘ketidakseimbangan autoriti’ dalam hubungan tersebut.
Biarpun sudah berkahwin, Nisa harus menerima perangai kaki perempuan seperti Megat yang sukar diubah.
Katanya, Megat tidak memiliki perempuan simpanan, cuma dia masih gemar berfoya-foya terutama dalam majlis pergaulan bebas.
“Saya bukan berkahwin kerana cinta, saya lakukan sahaja tanggungjawab sebagai isteri bila dia kehendaki.
“Saya sebenarnya tidak kisah Megat dengan perangai sejak azalinya, kerana saya tetap isteri yang sah di sisi undang-undang.
“Sedangkan lelaki miskin juga cenderung untuk bermain kayu tiga, ini pula lelaki yang memiliki kewangan makmur seperti Megat.
“Sekurang-kurangnya saya tidak perlu risau jika ditinggalkan dengan lima anak tanpa nafkah,” katanya.
Tambah Nisa, mengahwini lelaki kaya yang berusia lebih mudah kerana mereka tidak perlu berhadapan dengan sosok ibu mentua.
Bahkan dia juga tidak perlu tertekan untuk melahirkan anak kerana suaminya sudah memiliki anak pada perkahwinan sebelumnya.
Tugasnya mudah, hanya mencantikkan diri sepanjang masa dan menuruti sahaja rentak suaminya yang sudah lanjut usia itu.
Dia juga tidak perlu risau sekiranya kecantikannya akan pudar kerana jarak umur mereka terlalu jauh untuk sampai ke tahap itu.
Justeru, dia menganggap wanita tidak perlu malu sekiranya tertarik dengan kewangan stabil seseorang lelaki.
“Dalam keadaan ekonomi sekarang, bukan mudah untuk membesarkan anak-anak. Wang sering jadi isu dalam keluarga.
“Saya bukan tamak, sebaliknya saya bijak dalam perancangan kewangan dan pandai merebut peluang,” tuturnya.