fbpx

Makam 5,000 tahun ditemui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBANYAK 14 rangka lelaki, wanita dan kanak-kanak dari zaman Neolitik ditemui di Pulau Orkney, Scotland baru-baru ini.

PENEMUAN arkeologi merupakan sesuatu yang sangat janggal dan jarang berlaku ‘incredibly rare’ di Pulau Orkney, Scotland.

Bagaimanapun, baru-baru ini ahli arkeologi telah menemui runtuhan makam berusia 5,000 tahun di kepulauan utara Scotland itu.

Sebanyak 14 rangka lelaki, wanita dan kanak-kanak telah digali di tapak Neolitik yang terletak di kepulauan tanah besar, Holm.

Pakar dari Muzium Negara Scotland (NMS) dan Universiti Cardiff turut menemui tulang manusia tambahan ketika pencarian lokasi tepat makam tersebut.

Selain itu, sukarelawan dan pelajar dari University of Central Lancashire membuat penemuan lain semasa penggalian selama tiga minggu, termasuk mencari mayat, tembikar, alat batu dan pin tulang.

Wakil NMS berkata, tapak Neolitik tersebut telah tertimbus di bawah padang ragut selepas sebahagian besarnya dimusnahkan tanpa rekod pada akhir abad ke-18 atau awal abad ke-19.

“Tapak ini dimusnahkan bagi membekalkan batu binaan untuk rumah ladang berdekatan.

“Pada 1896, anak lelaki kepada seorang petani di sini menemui lapan rangka di tapak berkenaan bersama kesan dinding, kepala parang batu dan bola,” katanya.

Sementara itu, menerusi laporan media tempatan, Orcadian, seorang pakar barangan antik, James Walls Cursiter membuat spekulasi bahawa tapak itu adalah kubur yang telah musnah.

Laporan itu telah menarik minat pakar arkeologi untuk meneroka lokasi pencarian pada tahun ini.

Penggalian itu diketuai oleh ahli arkeologi NMS, Dr. Hugo Anderson-Whymark, dan Prof. Vicki Cummings dari Universiti Cardiff.

Pencarian tersebut menyasarkan anomali yang direkodkan melalui tinjauan geofizik yang dijalankan pada 2021.

Tinjauan berkenaan mendedahkan kesan batu kapur dengan diameter lebih 15 meter (m) dengan mengandungi struktur batu yang boleh diakses melalui laluan sepanjang 7m.

Seorang ahli arkeologi berkata, terdapat sebuah bilik batu terletak di tengah-tengah ‘cairn’ (susunan batu) dan ia dikelilingi enam sel sisi yang lebih kecil serta mempunyai bumbung batu bergerigi.

“Ciri-ciri ini membolehkan makam itu dikelaskan sebagai kubur laluan ‘Maes Howe-type’.

“Hanya 12 makam jenis ini diketahui di Orkney termasuk Maes Howe, Cuween dan Quoyness serta dianggap sebagai ‘puncak kejuruteraan Neolitik’ di utara Britain,” ujarnya.

Dalam pada itu, Anderson berkata, Orkney sangat kaya dengan arkeologi, tetapi pihaknya tidak pernah menjangka akan menemui makam sebesar dalam penggalian skala kecil.

“Sungguh luar biasa untuk memikirkan monumen yang dahulunya mengagumkan ini hampir hilang tanpa rekod.

“Bagaimanapun, mujurlah ada batu yang terselamat untuk kami memahami saiz, bentuk dan pembinaan makam ini,” kongsinya.

Cummings pula menambah, pemeliharaan begitu banyak jenazah manusia di satu bahagian monumen adalah menakjubkan.

“Perkara ini amat unik terutamanya kerana batu itu kebanyakannya dirompak untuk bahan binaan.

“Kubur seumpama ini amat jarang ditemui, walaupun dalam kubur yang dipelihara dengan baik.

“Mayat ini akan memberikan pandangan baharu terhadap semua aspek kehidupan orang-orang ini,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI