fbpx

Majikan kongsi saat terakhir Bad Indigo mengadu sakit perut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wan (kiri) dan Allahyarham Badrul Izhan.

PETALING JAYA – Majikan kepada penyanyi Bad Indigo, Wan Ohar menceritakan saat-saat terakhir sebelum Allahyarham disahkan meninggal dunia pada Khamis lalu.

Menerusi perkongsian klip video di TikTok, Wan berkata, arwah ada mengadu kepadanya mengenai sakit perut selepas makan nasi lemak namun tidak menunjukkan sebarang tanda lain.

“Pagi semalam (Khamis), memang dia nampak sihat cuma dia kata sakit perut selepas makan nasi lemak.

“Dia memang jenis tak buang besar dekat bengkel. Tak pernah masuk pun. Tetapi dua hari lepas kami terperanjat dia buang air besar. Selain itu, dia ada mengadu satu benda sahaja, (badan ada angin kata Bad),” katanya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Bad atau nama sebenarnya Badrul Izhan Yeop Abdullah, 48, dilaporkan meninggal dunia selepas mengalami sesak nafas di Reiber Auto, Ampang, Selangor Khamis lalu.

Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara, semalam.

Mengulas lanjut mengenai detik akhir Bad, wan berkata, arwah turut mengalami muntah-muntah sebelum tidak sedarkan diri di dalam kereta.

“Petang itu, Rizal datang kat saya, kata Bad muntah, muntah. Waktu itu, mata Bad dah macam orang baru bangun tidur dan tak berikan respons, tetapi dia masih bernafas ketika ini.

“Saya sebenarnya, sudah dua kali saksikan Bad kena ‘hypoglycaemia’ (hypo). Ubatnya bagi air berkarbonat, tak sampai 20 saat, dia dah okey.

“Semalam mungkin ramai agak panik dan tengok Bad berpeluh-peluh pun lain macam. Saya ada beli air tetapi dia dah tak nak minum,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan berkata, pasukan paramedik yang tiba selepas 20 minit kejadian berlaku mengesahkan Bad sudah meninggal dunia.

“Ambulans sampai paramedik terus berikan bantuan pernafasan dan cuba panggil dia tetapi tiada respons. Selepas itu, jururawat tanya sudah berapa lama Bad tidak sedarkan diri dan kami kata lebih kurang 25 minit.

“Menurut jururawat, lebih daripada 15 minit, oksigen tak sampai ke otak dan memaklumkan arwah meninggal dunia,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI