MANCHESTER – Kehilangan khidmat kapten, Kevin De Bruyne tidak begitu menjejaskan aksi dipamerkan Manchester City, namun mereka perlu menerima hakikat bahawa pemain itu memiliki kemampuan terhadap kekuatan pasukan tersebut.
De Bruyne hanya sempat beraksi satu perlawanan Liga Perdana Inggeris musim ini ketika aksi pertama menentang Burnley sebelum kembali dihantui masalah kecederaan dan masih belum pulih sepenuhnya sehingga kini.
Situasi itu merencatkan sedikit perancangan pengendali pasukan itu, Pep Guardiola menyebabkan beliau terpaksa menggunakan beberapa pilihan pemain untuk mengisi kekosongan tersebut termasuk khidmat Phil Foden.
Bagaimanapun, Foden berdepan kesukaran untuk menepati piawaian yang telah ditetapkan pengurus pasukannya itu sekali gus berdepan risiko mungkin kehilangan tempat untuk turun berdepan saingan derbi menentang Manchester United malam ini.
Aksi menentang Young Boys pada saingan Liga Juara-Juara kelmarin menyaksikan Foden berdepan kesukaran dari aspek kecergasan apabila dia lebih banyak berada di bilik rawatan sejak awal musim ini.
Situasi itu bakal memberikan kelebihan buat seorang lagi pemain muda, Rico Lewis yang berjaya memikat perhatian Guardiola ketika dia sedia beraksi di mana-mana posisi yang diperlukan biarpun posisi sebenarnya adalah pemain bek kiri.
Guardiola mampu untuk menghantar Lewis sebagai pemain yang mampu melakukan kerja-kerja menyerang di bahagian sayap untuk menampung kehilangan Foden sekiranya pemain itu tidak cergas.
“Ketika menentang Young Boys, Lewis kembali ke posisinya sebagai pemain pertahanan. Dia sangat menguasai posisi berkenaan, namun dalam masa yang sama sumbangannya untuk bahagian tengah membuatkan saya terpikat,” jelas Guardiola.
Malah, Lewis juga mampu memberikan variasi serangan yang berbeza buat City apabila dia turut memiliki kemampuan beroperasi di bahagian tengah untuk membantu Rodri dan Bernardo Silva yang sudah kembali daripada penggantungan dan kecederaan. – AGENSI