SEKITAR Ogos lalu, pelakon Shakilla Khoriri pernah memberi amaran kepada semua pihak, terutama netizen supaya berhenti daripada mengeluarkan sebarang spekulasi berbentuk fitnah yang boleh menjejaskan namanya serta keluarga.
Nama Shakilla sekali lagi ‘dipetik’ seorang wanita apabila individu itu dengan yakin meninggalkan komen menuduhnya pernah melakukan hubungan sulit atau berzina dengan suami orang.
Perihal terbabit sekali gus membuatkan Shakilla atau nama lengkapnya Nurul Shakilla Mohd. Khoriri ‘naik hantu’ dengan tuduhan dilakukan.
Kali ini, Shakilla, 34, nampaknya tidak teragak-agak untuk berkongsi wajah individu yang memfitnahnya secara terbuka.
Pelakon filem Adnan Semp-It itu mengajak wanita tersebut untuk bersemuka dengannya bagi mendapatkan penjelasan tentang tuduhan yang dilemparkan.
“Assalamualaikum sis (panggilan kepada pemilik akaun). Saya akan ke Terengganu ada ‘shooting’ dekat sana.
“Alang-alang jom kita jumpa nak? Mahu dengar juga cerita saya yang (kononnya) awak lagi tak tahu,” katanya dalam nada menyindir menerusi hantaran dalam InstaStory.
Tujuannya cuma satu, ingin bertentang mata dengan wanita itu supaya dia dapat perincian berhubung dakwaan dirinya mempunyai hubungan sulit dengan suami orang.
“Nak tahu juga suami orang mana yang saya dah ‘main’ itu sebab mak, abah, adik, (dan) kakak saya pun tengah tanya,” ujarnya dengan tegas.
Mungkin kerana gentar dengan kata-kata yang ditinggalkan Shakilla, individu terbabit terus meminta maaf atas komen berbaur fitnah yang ditulisnya.
Untuk sekian kalinya, Shakilla sekali lagi mengingatkan mana-mana pihak agar berhati-hati ketika menulis, terutama membabitkan kenyataan yang boleh mencalarkan maruah orang lain.
Kalau mahu mengutuk atau mengumpat sekali pun, Shakilla meminta agar perkara itu dilakukan tanpa pengetahuannya. Namun jika dirinya tahu sekali lagi menjadi bahan umpatan orang lain, dia tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sewajarnya.
“Tolong, berhati-hatilah ketika menulis. Nak mengumpat, kutuk ke terpulanglah sebab di belakang orang, itu dosa kalian.
“Jangan sampai menulis dan jatuh fitnah pada seseorang. Saya tengok dia ada suami, ada anak. Saya sedih kenapa buat begini,” luahnya.
Sebelum fitnah menjalin hubungan asmara dengan suami orang itu kembali bertiup, Shakilla menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dirinya pernah berzina dengan mana-mana lelaki.
Malah, bekas isteri kepada penyampai radio, Fizi Ali itu menganggap tuduhan tersebut sangat melampau.
“Saya bukanlah baik sangat, tapi tidaklah sampai tahap nak buat perkara tidak sepatutnya. Ada yang menuduh saya berzina. Saya tidak buat semua itu.
“Biarlah orang nampak saya jahat, tapi Allah SWT sahaja yang tahu apa yang berlaku. Kalau nak cakap tentang mesranya gambar yang tersebar itu, tidaklah sampai tahap saya berzina,” jelasnya menerusi kenyataan yang pernah dikongsikan kepada Pose.