fbpx

Konflik Palestin-Israel: Tiga treler sumbangan rakyat Malaysia ke Gaza Isnin ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sukarelawan Muslim Care Egypt yang terdiri daripada penuntut Malaysia turut membantu menyediakan kotak makanan untuk dihantar ke Gaza.

PETALING JAYA – Tiga treler membawa barangan perubatan, makanan dan minuman keseluruhannya bernilai AS$1.5 juta (RM7.2 juta) untuk rakyat Palestin akan bertolak ke sempadan Mesir-Palestin menuju Gaza, selewat-lewatnya pada Isnin ini.

Kerja memasukkan barangan bantuan kecemasan itu ke dalam kotak dan memuat naik ke atas lori mula dilakukan semalam dengan turut dibantu sukarelawan Muslim Care Malaysia (MCM) yang berada di bandar itu sejak 10 hari lalu.

Timbalan Presiden MCM, Mohd. Johari Ismail berkata, sebahagian barangan tersebut adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia dan pihaknya membelanjakan lebih RM500,000 untuk pembelian barangan perubatan, makanan dan minuman.

Tambahnya, RM1.5 juta pula sudah dibelanjakan untuk bantuan kecemasan Palestin dan majoriti sumbangan disalurkan terus kepada MCM Palestin di Gaza yang diketuai penduduk tempatan, Ahmad Abu Ayesh.

“Untuk bantuan dari Mesir pula MCM dan Muslim Care Egypt bergabung dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa “Miles of Smiles” yang berpejabat di London dan turut dianggotai NGO dari United Kingdom, Jordan, Turkiye dan Sweden.

“Antara makanan yang akan dihantar ke Gaza ialah daging, ikan dan kacang dalam tin, tepung gandum keju, serbuk teh, manisan serta air minuman di dalam botol,” katanya.

Selain itu katanya, barangan perubatan pula termasuk pembalut luka, kerusi roda, katil, pengusung beroda, tongkat, alat pengimbas serta mesin ECG untuk rawatan jantung.

“Tiga treler setiap satu sepanjang 12 meter yang membawa semua barangan perubatan dan makanan itu akan bertolak selewat-lewatnya Isnin ini dari Kaherah ke bandar Al-Arish yang terletak 45 kilometer dari lintasan Rafah yang memisahkan Mesir dan Gaza.

“Al-Arish kini menjadi pusat pengumpulan barangan bantuan untuk ke Gaza dan sebuah stadium digunakan untuk tujuan itu.

“Malah, kerajaan Mesir bercadang membuka hospital medan di bandar itu sebelum melonggarkan kawalan pintu sempadan untuk merawat ribuan rakyat Palestin yang cedera,” katanya.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI