PETALING JAYA – Misteri kehilangan seorang wanita sejak Rabu lalu terungkai apabila ditemui dalam keadaan tidak bernyawa dalam kenderaannya di tapak parkir Restoran Jejantas Sungai Buloh arah utara, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 berhubung penemuan mayat sekitar pukul 10.50 pagi tadi.
Katanya, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Kota Damansara bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan tersebut.
“Sampai di lokasi, pihak polis menemui mayat seorang wanita berada dalam sebuah kereta jenis Honda City.
“Hasil siasatan mendapati mangsa merupakan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 30 tahun dalam kenderaan tersebut yang berkunci,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, pihaknya turut menemui satu periuk berisi arang yang telah dibakar di dalam kereta terbabit.
“Mangsa juga dilaporkan hilang sejak Rabu lalu oleh keluarganya di Taman Kepong, Kuala Lumpur,” katanya.
Mengulas lanjut, Fakhrudin berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk mengetahui punca kematian serta ujian saringan Covid-19.
“Mana-mana pihak yang mempunyai makluman mengenai kejadian atau mengenali mangsa diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE