SHAH ALAM – Beberapa kertas cadangan diterima kerajaan negeri bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa krisis kemanusiaan akibat konflik Palestin – Israel.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ini termasuk daripada sebuah syarikat dan penganjur yang pernah bekerjasama dengan kerajaan negeri sebelum ini bagi membantu penduduk di Gaza.
Katanya, sebagai contoh kerajaan negeri mengeluarkan dana untuk membeli ambulans dan kemudahan peralatan kesihatan yang sekarang masih lagi beroperasi di Gaza.
“Mungkin urusan tersebut akan melibatkan anak-anak syarikat kerajaan negeri disebabkan mereka memerlukan tambahan dari segi
kelengkapan perubatan untuk ambulans yang sedang digunakan di Gaza,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan sumbangan kerajaan negeri kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin, hari ini.
Gimik penyerahan sumbangan RM1juta tersebut diserahkan kepada Setiausaha Bahagian Asia Barat Kementerian Luar Negeri, Datuk Zahairi Baharim.
Amirudin menjelaskan kerajaan negeri tidak menerima sebarang tekanan dari mana-mana pihak susulan pendirian menyokong Palestin dan saluran bantuan kepada penduduk di Gaza.
“Keputusan kerajaan negeri tidak menyertai Frankfurt Book Fair disebabkan pendirian mereka bertentangan dengan kerajaan negeri,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE