fbpx

Sudah-sudahlah manjakan warga asing, hentikan ketirisan subsidi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

SEBAGAI seorang pembayar cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), saya menyokong penuh langkah kerajaan untuk memperkenalkan subsidi bersasar.

Ini kerana, sudah lama saya sakit hati dan ‘berbulu mata’ apabila melihat warga asing rakus menjarah barangan bersubsidi.

Manakan tidak, kita rakyat tempatan terutamanya yang tinggal di kampung sangat susah untuk mendapatkan bekalan gula, minyak peket bersubsidi. Kalau ada pun kena beli gula premium dahulu baru dibenarkan beli gula biasa.

Perkara ini berlaku ke atas saya sendiri dan rakan yang tinggal di kampung yang mendakwa bekalan gula dan minyak peket amat susah di Kelantan.

Jika dilihat, perkara seperti ini berlaku atas beberapa faktor, antaranya ketirisan subsidi oleh pihak tidak bertanggungjawab membawa barangan subsidi merentas sempadan negara.

Selain itu, ada juga peniaga yang berkomplot menjual bara­ngan subsidi kepada warga ­asing walaupun mereka hanya me­numpang di negara kita dan tidak membayar sesen pun cukai.

Justeru, mengelakkan isu ketirisan subsidi ini menghantui rakyat, saya tertarik dengan perkongsian oleh pakar eko­nomi dari Sekolah Siswazah Perniagaan, Universiti Tun Abdul Razak, Profesor Emeritus Dr. Barjoyai Bardai yang mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan Institusi Pentadbiran Perpindahan Subsidi.

Katanya, dengan adanya institusi itu, langkah kerajaan untuk mengaplikasikan kaedah pemberian subsidi kepada rakyat melalui pindahan tunai boleh dilakukan.

Bagaimanapun, katanya, institusi terbabit perlu diletakkan bawah seliaan Kementerian Kewangan (MoF) yang bertindak sebagai ‘paymaster’ kepada pemberian subsidi.

“Biarpun MoF mempunyai bahagian pembayaran yang bertanggungjawab membuat pindahan kepada pelanggan atau pembekal kerajaan, sebuah institusi dengan pengasingan tugas wajar ditubuhkan bagi melicinkan pemberian subsidi pindahan tunai.

“Ini kerana, ia membabitkan satu tugasan baharu dengan ­kerja yang banyak, malah pe­nerima juga dijangka menjangkau lebih lapan juta orang, ia bukan jumlah kecil dari segi individu mahupun amaun bayarannya.

“Institusi itu nanti akan me­nguruskan hal berkait pentadbiran, pengurusan data termasuk verifikasi akaun, menentukan siapa golongan penerima, dan memastikan pindahan tunai dilakukan mengikut jadual.

Dalam pada itu, pakar kewa­ngan keluarga, Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri menyifatkan cada­ngan pemberian subsidi menerusi pindahan tunai itu amat baik dalam usaha mengatasi soal ketirisan kepada kira-kira 3.5 juta warga asing di negara ini.

Dekan Fakulti Ekologi Manusia di Universiti Putra Malaysia itu berkata, ia juga selaras dan rasional dengan apa yang sering diungkapkan Perdana Menteri, iaitu mengatasi subsidi kepada bukan sasaran yakni golongan kelas atasan atau ‘mahakaya’.

“Tinggal lagi perlu perhalusi mekanisme penyalurannya. Saya melihat dalam belanjawan ada sebut soal Pusat Data Utama yang menggabungkan data daripada 200 agensi, jadi saya kira ia boleh dijadikan platform rujukan,” katanya.

Beliau berkata, cadangan subsidi melalui pindahan tunai juga selari ke arah era digitalisasi kini, selain mencadangkan pemberian subsidi itu ditetapkan mengikut kemampuan kewangan kerajaan sama ada dikreditkan setiap tiga bulan, enam bulan atau setahun sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI