Wai Ching sasar jarak 1.6km Guinness World Records tahun depan
PELARI menara ranking kedua dunia, Soh Wai Ching bertekad meleburkan satu lagi rekod Guinness World Records (GWR) kali ini dengan catatan masa bawah satu jam untuk jarak 1.6 kilometer (km) tahun depan.
Ini kerana, Wai Ching, 26, tidak mahu berasa selesa dengan kemampuan dirinya selepas berjaya memegang GWR untuk cabaran pendakian tangga menegak dalam tempoh satu jam dengan jarak 1.295km yang dilakukan di Hotel Four Seasons Kuala Lumpur pada Rabu lalu.
Bekas atlet olahraga jarak jauh 5,000 meter (m) dan 10,000m yang beraksi pada Sukan Universiti ASEAN 2016 itu mengatasi rekod dunia iaitu 1.227km dalam tempoh sejam yang dipegang oleh David Robles Tapia dari Sepanyol.
“Ini bukanlah pencapaian tertinggi lagi dalam karier saya kerana bagi saya, kejayaan meraih gelaran sebagai juara dunia dan menghuni ranking pertama dunia lebih besar. Saya tidak akan berhenti berusaha selagi belum mencapai kedua-dua objektif ini.
“Kalau masih tiada pertandingan diadakan disebabkan pandemik Covid-19, saya bertekad untuk membuat satu lagi gelaran Guinness World Records untuk jarak 1.6km yang sekarang dipegang oleh kawan saya dari Jepun dengan catatan masa 66 minit.
“Jadi saya sasar untuk pecah rekod ini dalam tempoh kurang satu jam dan bercadang melakukannya di KLCC (Menara Berkembar Petronas) pada tahun depan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Bagaimanapun, Wai Ching yang juga Presiden Persatuan Larian Menara Malaysia, sedia melupakan seketika hajat itu jika situasi pandemik Covid-19 tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan sekali gus hasrat itu terpaksa ditangguhkan.
“Sebagai presiden, saya mahu anjur 10 pertandingan larian menara dalam tempoh setahun untuk mempromosikan sukan ini.
“Kalau sudah boleh bertanding, saya mahu menang gelaran juara dunia dan pegang ranking pertama dunia.
“Selepas itu, saya akan cuba pertahankan ranking pertama dunia selama 10 tahun dan pecahkan segala rekod menara yang ada,” jelasnya.