BENTONG – Pahang meneruskan pemberian Bantuan Prihatin Pahang (BPP) kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) (BPP SPM-STPM) dengan peruntukan sebanyak RM2.58 juta pada tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Ir. Mohd Soffi Abd. Razak berkata, bantuan bagi meringankan beban pelajar itu akan memberi manfaat kepada 25,871 calon SPM dan STPM daripada seluruh negeri.
“Sumbangan ini adalah untuk meringankan bebanan pelajar menampung perbelanjaan sekali gus memperkasa proses pembelajaran pelajar bagi calon yang akan mengikuti peperiksaan SPM dan STPM.
“BPP SPM-STPM ini adalah kesinambungan dari tahun 2022 dan pada tahun ini juga BPP SPM-STPM dikekalkan untuk membantu pelajar,”katanya selepas majlis simbolik penyerahan BPP SPM-STPM yang disampaikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail kepada Pengarah Pendidikan Pahang, Amzan Abd. Malek di sini hari ini.
Menurut Mohd Soffi sumbangan inisiatif kerajaan negeri itu akan menyaksikan semua calon yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM di negeri ini akan menerima bantuan wang tunai sebanyak RM100 seorang.
Beliau memberitahu jumlah sekolah yang terlibat dalam bantuan BPP SPM adalah sebanyak 188 buah sekolah manakala bagi STPM melibatkan 40 buah sekolah di seluruh negeri.
Katanya, kaedah agihan adalah melalui sekolah masing-masing dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah dan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT).
Dalam pada itu, beliau berharap sumbangan ini akan dapat membantu dan menampung perbelanjaan untuk memperkasa proses pembelajaran pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan STPM.
“Terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail atas pelaksanaan program ini yang sudah masuk tahun kedua, insya Allah ia akan diteruskan tahun hadapan dan usaha ini sedikit sebanyak membantu pelajar khususunya dalam kalangan warga yang miskin,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE