PEMAIN import dari Argentina, Sergio Aguero hampir pasti menyertai pasukan Pahang bagi mengharungi kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan sekali gus kekal di negara ini buat tahun kelima.
Sebagai rekod, Aguero yang berusia 26 tahun telah berbakti bersama pasukan Melaka United pada musim 2017, Selangor United (2018), Pulau Pinang (2019) dan kelab di Liga M3, Kuala Lumpur Rovers tahun ini.
Kata Aguero, ucapan terima kasih diberikan kepada Presiden Persatuan Bola Sepak Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah kerana memberi kepercayaan untuknya mewakili skuad Tok Gajah musim depan.
“Saya sangat gembira apabila diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada pasukan Pahang. Terima kasih diucapkan kepada Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan pengurus pasukan, Datuk Mohammed Suffian Awang yang memberi kepercayaan penuh.
“Apa yang pasti, saya berjanji memberikan yang terbaik buat pasukan kerana sudah menjadi impian saya sejak berada di Malaysia empat tahun lalu untuk mewakili pasukan gergasi seperti Pahang,” katanya dalam satu kenyataan di laman Instagram peribadinya.
Sementara itu, Mohammed Suffian mengakui Aguero sememangnya berada dalam radar untuk mewakili Pahang bagi saingan musim depan kerana kualiti yang ada padanya bagi menggerakkan jentera serangan pasukan.
“Saya boleh katakan Aguero hampir pasti menjadi milik Pahang musim depan dan ia adalah proses yang mudah kerana dia sememangnya menyatakan minat untuk mewakili kami.
“Kini, kami sedang meneliti beberapa pemain lagi yang berada dalam senarai akhir untuk ditandatangani bagi memantapkan pasukan sebelum dapat diumumkan secara rasmi dalam masa terdekat,” katanya.