KLUANG – Berikutan tular di media sosial aksi goyang gerudi oleh sekumpulan wanita ketika kumpulan band tempatan membuat persembahan dalam satu karnival di Simpang Renggam terpaksa dihentikan hari ini oleh pihak berkuasa tempatan.
Menurut peniaga makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Rahmat, Karnival Makanan Johor yang diadakan di Dataran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Simpang Renggam itu sepatutnya diadakan bermula 20 Oktober hingga 29 Oktober.
Katanya, melalui karnival makanan itu, kira-kira 50 buah gerai disediakan untuk menjual barang-barang makanan dan pelbagai yang secara tidak langsung memberi peluang peniaga tempatan menambah pendapatan jualan.
“Bagaimana pun, pada 24 dan 25 Oktober, satu kumpulan band tempatan dijemput untuk membuat persembahan bagi menarik kedatangan orang ramai.
“Namun tidak disangka sekumpulan wanita berada atas pentas dan membuat goyang gerudi menyebabkan pengunjung lelaki turut serta malah ada yang naik ke atas pentas,” katanya.
Menurut Rahmat lagi, lebih malang lagi aksi mencolok mata itu ditularkan dalam media social hingga mendapat kecaman orang ramai dan diambil tindakan oleh pihak Majlis Daerah Simpang Renggam (MOST)dengan menghentikan terus karnival itu.
Ujarnya lagi, berikutan daripada tindakan MDSR itu, peniaga mengalami kerugian ribuan ringgit apabila stok jualan disediakan untuk sepanjang karnival tidak dapat dijual.
“Walaupun sudah berniaga enam hari, namun kami hanya memperolehi jualan sekitar RM200 sehari sehingga keluar duit sendiri untuk membayar gaji pekerja.
“Kami amat kesal dengan pihak penganjur yang samada segaja atau tidak telah membenarkan aktiviti hiburan sehingga adanya goyang gerudi seperti ini dan menyebabkan karnival terpaksa dihentikan,” Katanya.
Usaha untuk mendapat ulasan daripada pihak MDSR tidak dapat diperolehi. – KOSMO! ONLINE