fbpx

Bad kawan susah senang – Zam Indigo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAM, angara sahabat yang sangat terkesan dengan pemergian Bad Indigo.

PETALING JAYA – “Bad bukan sahaja seorang kawan tetapi saudara yang sangat rapat”.

Demikian respons penyanyi Zam sambil menitiskan air mata menceritakan keperibadian arwah sahabatnya yang berpayung bawah kumpulan sama, Indigo.

Pemilik nama penuh Shahrul Nizam Abdul Aziz itu mendedahkan terlalu banyak kenangan bersama Bad malah Allahyarham merupakan antara sahabat yang banyak menolongnya ketika mula-mula menjejakkan kaki di Kuala Lumpur suatu ketika dahulu.

“Saya dari Johor, apabila datang Kuala Lumpur, dia antara sahabat pertama yang saya kenal, sekaligus selalu membantu saya dalam apa jua perkara.

“Terlalu banyak kenangan dengan arwah, kalau cerita hari ini pasti air mata saya akan melimpah ruah, takkan mampu saya habiskan,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di Masjid Tun Abdul Aziz, disini, hari ini.

Tidak terbit rasa terkilan malah reda dengan pemergian Allahyarham Bad, Zam secara peribadi menyifatkan pemergian sahabatnya itu adalah pengakhiran yang mulia.

“Saya tidak terkilan kerana ini ketentuan Allah, yang selesai sudah selesai, saya bersyukur dan gembira dia pergi dalam keadaan mudah pada hari yang baik. Allah dah pilih dia dekat situ.

“Apa yang penting, pengakhiran dia adalah pengakhiran yang baik, perginya dalam keadaan mulia, itu sudah cukup membuat saya bahagia,” tuturnya.

Bad atau Badrul Izhan Yeop Abdullah disahkan meninggal dunia sekitar pukul 7 malam, semalam selepas mengalami sesak nafas di tempat kerjanya di Reiber Auto di Bukit Permai, Ampang, Selangor.

Berita mengejutkan tersebut dikongsikan rakan seperjuangan penyanyi itu, Liza Hanim yang juga anggota kumpulan Indigo, Shah, menerusi muat naik dalam Instagram, malam tadi.

Sebelum ini, Bad telah kehilangan kesemua jari kaki kiri sejak Mac tahun lalu akibat kencing manis.– KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI