KUALA LUMPUR – Bekas pelumba Moto2 dan Moto3 negara, Khairul Idham Pawi menyertai pasukan Petronas Mie Racing sebagai pelumba wildcard untuk bersaing dalam perlumbaan Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) bagi kelas Supersports (WSSP) di Jerez, Sepanyol, hujung minggu ini.
Pelumba berusia 23 tahun itu yang kini mendahului carta Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) dalam kelas Supersports 600 (SS600) itu bakal membuat penampilan sulungnya dalam saingan WSPP di WSBK itu.
Khairul Idham atau dikenali sebagai SuperKIP itu dilihat enggan mensia-siakan peluang terbaiknya kerana dia meletakkan harapan cukup tinggi untuk bersaing secara musim penuh perlumbaan WSBK pada masa akan datang.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Honda, Petronas dan MIE Racing kerana memberi saya peluang untuk bersaing sebagai wildcard di Jerez hujung minggu ini.
“Oleh itu, saya tidak sabar untuk menyertai pasukan ini dan merasai pertama kejuaraan WorldSSP. Mari lihat apa yang boleh kita lakukan,” katanya.
Ketika ini, selepas empat pusingan perlumbaan ARRC, SuperKIP yang bersaing bersama pasukan Boon Siew Honda Racing Team telah melakar tiga kemenangan sekali gus membolehkannya berada di tangga teratas carta keseluruhan SS600 dengan mengumpul 146 mata.
Bagaimanapun, pelumba kelahiran Perak itu perlu berhati-hati memandangkan dia
menerima tentangan sengit dari pelumba Thailand, Nakarin Atiratphuvapat dan pelumba Jepun, Soichiro Minamimoto selepas masing-masing mengumpul 120 mata. -KOSMO! Online