MANCHESTER – Manchester United terpaksa mengharapkan ‘ihsan’ daripada Video Bantuan Pengadil (VAR) untuk meraih kemenangan pertama di Old Trafford musim ini selepas menewaskan West Bromwich Albion 1-0 awal pagi semalam.
The Red Devils yang terus beraksi di bawah tahap sebenar, memerlukan ‘bantuan’ VAR untuk membolehkan Bruno Fernandes mengambil semula sepakan penalti untuk meledak gol tunggal perlawanan pada minit ke-56 selepas percubaan pertamanya berjaya ditepis penjaga gol West Brom, Sam Johnstonne.
United juga terselamat apabila pengadil, David Coote membatalkan keputusan awalnya menghadiahkan sepakan penalti kepada West Brom selepas pengadil itu menilai semula insiden tersebut menerusi VAR.
Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer mengakui, persembahan barisan pemainnya tidak meyakinkan meskipun berjaya meraih tiga mata berharga untuk melonjak ke tangga kesembilan Liga Perdana Inggeris ketika ini.
“Saya tidak gembira dengan keputusan ini jika dibandingkan sewaktu kami menewaskan Everton awal bulan lalu. Prestasi hari ini di bawah tahap sebenar walaupun kami meraih tiga mata.
“Saya mahu melihat corak permainan dan prestasi yang lebih meyakinkan jika kami mahu mengubah situasi semasa sekali gus mampu mencabar kejuaraan musim ini.
“Jadi, saya berharap para pemain bangkit dan cuba meraih kemenangan sekali lagi apabila beraksi di sini (Old Trafford) dalam tiga hari selepas ini,” katanya.
Kemenangan itu sedikit sebanyak menyemarakkan semangat barisan pemain United untuk menebus kekalahan kepada Istanbul Basaksehir menjelang pertemuan menentang juara Turki itu dalam aksi Liga Juara-Juara pada Rabu ini.
– AGENSI