fbpx

Institusi Yang di-Pertuan Agong pelindung demokrasi, bukan sekadar simbolik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Al-Sultan Abdullah

PETALING JAYA – Institusi Yang di-Pertuan Agong bukan sekadar simbolik semata-mata, tetapi ia pelindung kepada amalan demokrasi, tiang seri keamanan negara serta nadi perpaduan negara.

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, institusi itu mempunyai roh dan semangat sebagai instrumen semak dan imbang terakhir negara, yang berupaya menggunakan budi bicara untuk menzahirkan kata putus tatkala negara menemui jalan buntu.

“Pada hemat Paduka Adinda, Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu pula secara kolektif merupakan payung yang melindungi rakyat jelata serta benteng kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara.

“Kekuatan yang mengalir dalam tubuh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah cerminan kepada daulat sekalian Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu,” titah baginda Perutusan Yang di-Pertuan Agong ke-16 dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 (Hari Kedua) hari ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah, baginda berasa amat bertuah dan bersyukur kerana setelah 44 tahun selaku Tengku Mahkota Pahang dan 15 hari selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang, baginda dilimpahi keafiatan serta diangkat kemuliaan Allah untuk bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia.

“Paduka Adinda berdoa serta menaruh harapan semoga Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berasa sukacita serta merestui pemerintahan Paduka Adinda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 dan segala khidmat bakti yang telah Paduka Adinda serta Paduka Adinda Raja Permaisuri Agong curahkan sepanjang tempoh tersebut,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan menjunjung kasih kepada Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah atas kesudian menjalankan tugas-tugas Yang di-Pertuan Agong semasa ketiadaan baginda di tanah air dan semasa tidak dapat menjalankan tugas atas faktor kesihatan.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah bertitah akan menamatkan pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Januari 2024, selepas bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia selama lima tahun, bermula 31 Januari 2019.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI