KUALA LUMPUR – Kira-kira 60,000 peminat sukan permotoran akan berkumpul di KL Base, Sungai Besi (bekas Lapangan Terbang Sungai Besi) bermula esok bagi menjayakan Program Legacy Rider 2.0.
Program yang berlangsung selama dua hari sehingga Sabtu itu mendapat kerjasama pelbagai pihak antaranya, Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB).
Pengarah Urusan GGR Machine (M) Malaysia & Legacy Rider, Muhammad Musaddiq Mohamed Azmi berkata, program tersebut akan bermula dari pukul 8 pagi sehingga 6 petang.
Menurutnya, pengunjung yang hadir akan dapat menyaksikan pelbagai pameran menarik antaranya himpunan 300 motor jenama Ducati.
“Selain itu, pengunjung bertuah pula berpeluang membawa pulang hadiah lumayan berupa sebuah kereta Honda dan tiga buah motosikal.
“Pogram ini dijalankan untuk menyemarakkan industri pelancongan di negeri Selangor dengan memperkenalkan kepada kumpulan bermotosikal di seluruh negeri serta golongan belia yang menceburi sukan permotoran bagi tujuan mengeratkan silaturrahim dan berekreasi,”katanya dalam satu kenyataan.
Muhammad Musaddiq berkata, penganjuran kali kedua itu juga adalah rentetan daripada kejayaan tahun lalu yang berjaya menghimpunkan lebih 50,000 peminat sukan permotoran di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang.
Tambahnya, bagi memeriahkan lagi program tersebut beberapa selebriti popular tanahair termasuk Achey Bocey, Black Hanifah, Ajak Shiro, Uchop Ahmad, Tajul serta ikon-ikon media sosial (influencer).-KOSMO! ONLINE