BATU PAHAT – Mangsa kemalangan maut akibat sebuah lori membuat pusingan U di Kilometer 13.5 Jalan Batu Pahat – Kluang pagi semalam sempat membuat permintaan terakhir supaya mendoakannya mendapat keputusan yang baik dalam ujian percubaan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Kakaknya, Rifa Nur Hana Mohd Shamsul, 20, berkata, pada malam sebelum kejadian, adiknya, Shahrunizam, 17, memohon doa itu kerana akan menghadapi ujian percubaan peperiksaan SPM minggu hadapan.
Katanya, pasangan adik-beradik kerap berhubung untuk bertanya khabar serta mengulang kaji pelajaran walaupun tinggal berjauhan kerana sedang menuntut di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak.
“Kami sangat rapat, seperti biasa sering bergurau, adik juga ada meminta saya untuk balik kerana telah rindu.
“Bila akak nak balik, tak rindu abang ke?Abang juga nak akak doakan saya dapat keputusan yang baik dalam percubaan (SPM) minggu depan nanti, itulah antara perbualan terakhir kami,” katanya ketika ditemui di Taman Sri Gading, dekat sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 7.20 pagi semalam, mangsa yang juga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Gading maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar sebuah lori yang membuat pusingan U.-KOSMO! ONLINE