KUALA NERUS – Terengganu FC (TFC) terselamat daripada diaibkan kelab Filipina, Stallion Laguna FC apabila bangkit ketinggalan dua gol untuk mencatat seri 2-2 dalam aksi Piala AFC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini hari ini.
Keputusan itu membolehkan TFC kekal di tempat kedua mengumpul lima mata dalam Kumpulan G selepas Central Coast Marriners membenam Bali United 6-3 dalam perlawanan berasingan.
Pintu gol Sang Penyu dibocori seawal minit ketujuh menerusi sepakan percuma Griffin McDaniel yang menewaskan penjaga gol kebangsaan, Mohd. Suhaimi Husin yang sekadar terkaku di posisinya.
Keghairahan TFC menyerang dihukum Ngong Sam Stephen yang menyambar bola muntah hasil percubaan awal Diego Trujillo untuk gol kedua pelawat pada minit ke-40.
Sang Penyu akhirnya berjaya menembusi pintu gol Stallion Laguna dalam masa tambahan melalui Norde yang menyudahkan gerakan menarik Ivan Mamut dari sebelah kanan.
Penyerang gantian, Adisak Kraisorn muncul penyelamat maruah TFC selepas menanduk hantaran Norde dalam masa kecederaan sebelum pengadil, Ali Reda dari Lubnan menamatkan aksi dengan keputusan 2-2. – KOSMO! ONLINE