fbpx

‘Abi, ibu tak ada kan? sebab itu tak datang lawat Dollah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan Abdullah kini bertambah baik selepas terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan ibu bapa serta empat beradiknya pada 1 September lalu.

MUAR – “Tok Mak (nenek), abi (bapa), ibu tak ada lagi kan, sebab itu tak datang tengok Dollah (Abdullah).”

Itu luahan sedih Abdullah Amir Ruddin, 15, yang terselamat dalam kemalangan di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Segamat pada 1 September lalu yang meragut nyawa ibu bapa serta empat beradiknya.

Perkembangan terbaharu itu dikongsikan ibu saudaranya, Nor Hila Noor Muhammad, 38, selepas hampir dua bulan Abdullah akhirnya membuka mulut bertanyakan mengenai kesemua insan tersayangnya itu.

“Abdullah panggil ibu saya (Noliah Md. Noh, 76,) iaitu neneknya, Tok Mak untuk berborak-borak. Sambil mengurut kaki dan badannya, dia ada tanya abi (bapa) ibu tak ada lagi kan, sebab itu tak datang tengok Dollah.

“Ibu terus panggil saya dan suami tanya betul ke Abdullah cakap begitu, memang betul itu yang dia (Abdullah) tanya,” kata Nor Hila kepada Kosmo!.

Dia memberitahu, selama ini mereka takut untuk bercerita mengenai kemalangan itu dan hanya menunggu pertanyaan daripada Abdullah sendiri.

Katanya, pada malam kelmarin, pertanyaan itu keluar daripada mulut Abdullah.

“Memang betul dia sudah tahu perkara sebenar sebab akhir perbualan saya ada beritahu dia, Dollah tahu ke, dia cakap Dollah dengar dari orang-orang yang datang (melawat),” ujarnya.

Nor Hila berkata, keadaan Abdullah ketika ini bertambah baik dan mereka sekeluarga yakin ingatan anak saudaranya itu sudah pulih.

“Dia boleh faham apabila melihat orang sekeliling sedih ketika melawat, sebenarnya dia sihat dan boleh faham orang lain bercerita tentang siapa, mungkin dia sudah tahu dari awal cumanya tidak kuat nak beritahu yang sebenarnya dia sudah tahu.

“Apabila abang dia (Abdurrahman) tanya nak tengok tak gambar eksiden itu, Dollah cakap dia tak kuat nak tengok,” katanya.

Nor Hila berkata, mereka sekeluarga juga tunggu keputusan doktor pakar tentang perkembangan otak Abdullah.

Dalam kemalangan pada pukul 6.37 petang, 1 September lalu, bapanya, Amir Ruddin Ismail, 46, dan ibu, Norahimah Noor Muhammad, 43, serta empat beradik, Fatimatulzahrah, 17, Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5, terbunuh.

Abdullah yang cedera parah pada tangan dan kepala dikejarkan ke Hospital Segamat dan kembali pulih selepas hampir 20 hari menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU).

Kejadian berlaku ketika tujuh sekeluarga itu dalam perjalanan dari Ladang Tehel Utara, Kluang ke Felda Kemedak, di sini untuk menghantar Noorahimah serta anak-anaknya di sana.

Setiba di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan, Perodua Azla dinaiki bertembung dengan sebuah treler membawa muatan pasir.

Berita berkaitan: Abdullah makin sihat, luah rindu pada ibu bapa

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI