PETALING JAYA – Penyertaan kanak-kanak dan remaja Malaysia berhimpun secara maya menyatakan solidariti kepada Palestin menerusi permainan video terkenal, Roblox mendapat tumpuan dunia apabila ramai pengguna TikTok di luar negara memuji keprihatinan mereka.
Berdasarkan tinjauan di TikTok, pengguna dari luar negara masing-masing memuat naik video respons kepada perhimpunan solidariti kepada Palestin, malah ada yang menyifatkan kanak-kanak dan remaja Malaysia peka terhadap kesengsaraan rakyat Palestin.
Selain itu, ada juga pengguna tersebut memaklumkan turut memasuki ‘server’ itu bagi menyatakan sokongan kepada Palestin, biarpun dia tidak memahaminya kerana masing-masing berkomunikasi di dalam bahasa Melayu.
“Kanak-kanak di Malaysia melakukan protes terhadap pembunuhan beramai-ramai di Palestin di Roblox. Jadi apa alasan kamu,” kata pengguna TikTok dikenali sebagai Uncle.Damn.
“Memandangkan umur meraka tak boleh pergi protes, lihatlah (video protes) ini. Suatu yang menakjubkan. Kita mahu serangan bom dihentikan, kita mahu perang ini berhenti,” komen Baldnewsnetwork pada video.
Selain itu, komen-komen pengguna TikTok di luar negara juga menyatakan mereka turut sebak dan berbangga terhadap tindakan remaja dan kanak-kanak tersebut.
“Siapa sangka kanak-kanak bermain Roblox boleh sebabkan saya menitis air mata. Sangat berbangga,” kata Heather.
“Apabila kanak-kanak lebih matang, berpelajaran dan berperikemanusiaan berbanding pemimpin-pemimpin dunia,” ujar Lamees Bassam.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan satu perhimpunan maya menyokong Palestin dianjurkan oleh streamer yang juga pengguna TikTok dikenali sebagai @cikguzyd.
Perhimpunan secara maya itu diadakan pada ‘server’ Dataran Tanjung Mas yang mana ia ‘dibina’ oleh pelajar tingkatan tiga berasal dari Muar, Johor. – KOSMO! ONLINE
@nazrihamdan #shouldbeme Roblox Protest!! #economics #geng_economist #akantetapi #economist #economics ♬ original sound – Nazri Hamdan