fbpx

Kelantan ketandusan bakat muay Thai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KONTINJEN Kelantan pernah melakar kemenangan bagi acara muay Thai apabila membolot lima pingat emas dan dua gangsa sekali gus dinobatkan juara ke­seluruhan acara itu pada Sukan Malaysia (Sukma) 2013.

Kejayaan itu terpahat dalam sejarah buat kontinjen Kelantan semasa acara Muay Thai pertama kali dipertandingkan dalam temasya tersebut.

Kemenangan besar yang dicatat Kelantan ketika itu sudah pasti menjadikan kontinjen lain gentar. 10 tahun berlalu, tiada rekod baharu yang dicipta Kelantan bagi muay Thai pada Sukma.

Menyingkap kisah Kelantan dan muay Thai, sukan itu bukan asing bagi masyarakat di negeri Cik Siti Wan Kembang kerana kedudukan dengan Thailand yang hampir.

Muay Thai yang berasal dari Thailand sudah berasimilasi de­ngan penduduk di Kelantan apabila sebelum ini banyak pertan­dingan sukan itu dianjurkan sama ada profesional atau amatur.

Bagaimanapun, penganjuran pertandingan muay Thai sejak tiga tahun kebelakangan ini semakin berkurangan kerana penganjur sukar mendapat permit.

Disebabkan itu, banyak ‘ubi muda’ muay Thai di Kelantan berhijrah ke negeri lain untuk mengembangkan bakat mereka.

Mengulas mengenainya, Pre­siden Persekutuan Muay Thai Profesional Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani bersetuju bahawa kurang penganjuran pertandingan amatur dan semiprofesional menyebabkan tiada bakat baharu dari Kelantan dapat dicungkil.

Menurut beliau, kelab-kelab muay Thai di Kelantan juga diibaratkan seperti hidup segan mati tidak mahu apabila keba­nyakan daripada mereka sudah tiada berikutan kekangan per­belanjaan.

“Sukan muay Thai di Kelantan agak mundur berbanding ne­geri-negeri lain, sedangkan masyarakat di sana yang menjadi pencetus dalam melahirkan petarung-petarung hebat.

“Sarawak, Sabah, Kuala Lumpur dan Selangor banyak menganjurkan pertandingan dalam mencari bakat muda. Kemahiran dan kebolehan petarung dari ne­geri-negeri itu lebih baik berban­ding Kelantan,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Mohd. Fared memberitahu, kekurangan penganjuran pertandingan muay Thai itu sekali gus menyukarkan kontinjen Kelantan untuk mencari pelapis bagi menyertai Sukma pada masa hadapan.

Jelasnya, selain penganjuran pertandingan, kelengkapan atau fasiliti untuk melatih petarung muay Thai di Kelantan juga kurang memuaskan apabila mereka hanya bergantung kepada dana kelab.

“Kelantan sebelum ini banyak melahirkan petarung muay Thai yang berjaya seperti Faizal Ramli, Mat Ropi, Ban Mero, Tengku Sharizal dan Emy Semerah Padi.

“Kemahiran mereka ini boleh digunakan untuk melatih bakat-bakat muda untuk menyertai Sukma akan datang.

“Selain itu, kerajaan negeri juga perlu memberikan sokongan dan dorongan dalam pelbagai aspek terutamanya kewangan agar acara muay Thai di Kelantan kembali menjadi penyumbang utama kutipan pingat pada temasya Sukma,” katanya.

Tambah Mohd. Fared, bagi peringkat nasional, Persekutuan Muay Thai Profesional Malaysia sudah menandatangani perjanjian dengan Kun Khmer International Fight Gym di Kemboja.

Ujarnya, kerjasama itu dijalankan dalam usaha mencungkil bakat anak Malaysia untuk menyertai pertandingan muay Thai dan Kun Khmer iaitu seni mempertahankan diri tradisio­nal Kemboja di peringkat antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI