KUALA SELANGOR – Dianggarkan kira-kira 100,000 kes penyakit jantung dicatatkan setiap tahun di seluruh negara.
Pakar jantung, Prof. Dr. Sazzli Shahlan Kasim berkata, penyakit tersebut rata-ratanya dihadapi golongan lelaki dengan sebanyak 70 peratus berbanding wanita dengan 30 peratus.
Katanya, punca utamanya adalah sikap masyarakat negara ini yang lebih suka makanan berminyak, berlemak dan bergula.
“Sekalipun ini menjamu selera, biarlah yang tidak memudaratkan sehingga membuatkan derita dengan penyakit jantung, angin ahmar dan kegagalan buah pinggang.
“Bayangkan sebanyak RM9.6 bilion kerugian dicatatkan setahun (kerana kehilangan tenaga kerja) disebabkan rakyat kita menghidap sakit jantung,” katanya ketika sambutan Hari Jantung Sedunia dan Program Masyarakat Sihat (MaSiH) Universiti Teknologi Mara (UiTM), hari ini.
Program anjuran Hospital Al-Sultan Abdullah (HASA) UiTM Puncak Alam dan Pfizer Malaysia Sdn. Bhd. berkenaan dirasmikan Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Negeri Selangor, Jamaliah Jamaluddin.
Sazzli Shahlan yang merupakan Pengarah HASA menjelaskan, ramai pesakit memilih membuat rawatan pada tahap akhir sehingga menyebabkan kos perubatan atau pembedahan menjadi tinggi.
Ujarnya, situasi ini akan menyebabkan merumitkan dan merunsingkan pesakit bagi mendapatkan rawatan lanjutan.
“Sebenarnya, jika kita ingin merawat jantung dengan kos yang rendah, datanglah ke hospital buat pemeriksaan berkala beberapa kali setahun selepas berumur 35 tahun.
“Jangan sampai sakit jantung sudah tahap kronik, kosnya pun menjadi amat tinggi,”katanya. – KOSMO!ONLINE