AMMAN – Permaisuri Rania dari Jordan menyifatkan pemimpin-pemimpin Barat ‘berat sebelah’ kerana tidak mengutuk kematian penduduk Palestin akibat serangan Israel di Gaza, dengan perang itu berisiko menjejaskan hubungan antara dunia Arab dan Amerika Syarikat (AS), lapor stesen penyiaran CNN semalam.
Bercakap kepada Christiane Amanpour dalam temu bual bersama CNN, Rania berkata: “Rakyat di seluruh Asia Barat termasuk Jordan terkejut dan kecewa dengan reaksi dunia terhadap malapetaka yang sedang berlaku.
“Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, kami melihat sikap berat sebelah ketara di dunia. Apabila konflik berlaku 7 Oktober lalu, dunia serta-merta dan tanpa ragu menyokong Israel dan haknya untuk mempertahankan diri serta mengutuk serangan Hamas, tetapi mengenai serangan selepas itu, kita melihat dunia senyap,” katanya.
Israel mengisytiharkan ‘kepungan penuh’ ke atas Gaza selepas serangan Hamas pada 7 Oktober lalu. Mereka melancarkan serangan udara tanpa henti selain menyekat bekalan penting termasuk makanan dan air kepada seluruh penduduk enklaf kecil itu.
“Ini kali pertama dalam sejarah moden terdapat penderitaan manusia sedemikian rupa dan dunia tidak meminta gencatan senjata. Adakah kita diberitahu bahawa adalah salah untuk membunuh keluarga, tetapi dibenarkan membedil mereka sehingga mati?
“Maksud saya, terdapat sikap berat sebelah yang ketara di sini. Ia mengejutkan dunia Arab,” katanya.
Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza meletakkan angka kematian akibat serangan Israel kepada lebih 5,000 orang, termasuk lebih 2,000 kanak-kanak Palestin. Sekurang-kurangnya 35 pekerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut terbunuh. – AGENSI