fbpx

Pahang terima 900 metrik tan beras putih tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beras putih tempatan yang disiap dibungkus oleh syarikat pembekal, Mumtaz Iman Sdn. Bhd. di Indera Mahkota di Kuantan, Pahang.

KUANTAN – Dalam usaha menangani isu beras di negeri ini sebanyak 900 metrik tan beras putih tempatan (BPT) diterima dan diagihkan kepada lima syarikat pembekal dilantik untuk diedarkan kepada peruncit serta peniaga di seluruh negeri.

Lima syarikat di bawah Program Panel Pemborong Beras Putih Tempatan itu melibatkan dua syarikat di Kuantan manakala masing-masing satu di Jengka, Maran dan Triang, Bera.

Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Pahang, Hamizan Musa berkata, jumlah 900 metrik tan itu dianggarkan membabitkan lebih 8,000 peket beras yang akan dijual pada harga RM26 bagi kampit 10 kilogram.

“Melalui bekalan BPT yang diterima kali ini, ia diharap dapat mengatasi masalah kekurangan beras jenis itu dalam pasaran tempatan.

“Walaupun tidak dapat menyelesaikan masalah itu sepenuhnya, sekurang-kurangnya langkah ini dapat memastikan bekalan beras tempatan sentiasa ada di pasaran,” katanya pada Program Pelepasan Beras Putih Tempatan ke Pasaran oleh salah syarikat pembekal, Mumtaz Iman Sdn. Bhd. di Indera Mahkota di sini hari ini.

Hamizan berkata, bekalan BPT akan diterima setiap bulan bergantung kepada musim tuaian di negeri-negeri pengeluar beras di seluruh negara yang lain seperti Kelantan, Terengganu, Selangor dan Perak.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan pengguna agar membeli beras mengikut keperluan dan tidak melakukan pembelian panik yang menjadi antara punca gangguan bekalan bahan makan utama itu di pasaran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI