BURIRAM, Thailand – Pelumba Sepanyol, Jorge Martin turun ke Grand Prix (GP) Thailand pada hujung minggu ini dengan mentaliti berbeza apabila mengakui dia tidak boleh melakukan sebarang kesilapan untuk mengejar kejuaraan dunia MotoGP musim ini.
Justeru, pelumba Pramac Racing itu menegaskan dia berjanji tidak akan mengambil sebarang risiko terutama pemilihan tayar yang akan digunakan ketika bersaing di Litar Antarabangsa Chang di Buriram
Sewaktu perlumbaan di GP Australia baru-baru ini, Martin menggunakan komponen tayar berbeza dengan pesaingnya dan dia menampilkan aksi menakjubkan, namun ia tidak bertahan lama selepas hilang cengkaman dan menamatkan perlumbaan tempat kelima di Phillip Island.
“Yang pasti, mulai sekarang, saya tidak akan mengambil sebarang risiko. Sekurang-kurangnya kami perlu guna tayar yang sama seperti pesaing kami menjelang saingan di Thailand nanti.
“Saya telah belajar sesuatu dari insiden lalu. Jika ingin berjuang untuk kejuaraan dunia MotoGP, perkara utama yang anda perlu fikir adalah perlu memiliki senjata yang sama seperti pesaing anda,” kata Martin.
Bagnaia kini mendahului carta kedudukan teratas MotoGP dengan 366 mata selepas mencatat enam kemenangan sekali gus bakal turun GP Thailand pada hujung minggu ini dengan lebih yakin selepas membawa 27 mata penting.
Martin dilihat sedikit tertekan kerana dia kini mengumpul 339 mata da pelumba Sepanyol itu tidak boleh melakukan sebarang kesilapan ketika perlumbaan MotoGP kini hanya berbaki empat sahaja pusingan sebelum melabuhkan tirai secara rasmi di GP Valencia. – AGENSI