fbpx

Dewan Rakyat: Tidak elok dedah negara ancam, ugut PM – Zambry

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zambry.

KUALA LUMPUR – “Dalam dewan (Dewan Rakyat) ini saya fikir elok kita tidak namakan siapa mereka, tetapi kita tegaskan bahawa kita tidak gentar dengan sebarang ugutan mereka”.

Demikian respons Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir terhadap permintaan Ahli Parlimen supaya mendedahkan negara yang mengugut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana lantang dalam isu Palestin.

Terdahulu, Zambry menerangkan, Malaysia antara negara yang paling lantang memperjuangkan isu Palestin dan telah meningkatkan tekanan tahap tertinggi terhadap masyarakat antarabangsa.

Menurut beliau, tekanan itu dilakukan supaya masyarakat antarabangsa tidak menutup mata dan membenarkan rejim Zionis bermaharajalela serta membabi buta melakukan pembunuhan ke atas orang awam di Palestin.

“Malaysia berterusan membangkitkan isu berat sebelah oleh pihak barat dalam isu kezaliman rejim Zionis tanpa ada sebarang tindakan punitif.

“Pendirian Malaysia dirungkaikan Perdana Menteri semasa Himpunan Malaysia Bersama Palestin sejurus kembali daripada lawatan ke Arab Saudi, Turkiye dan Mesir,” ujarnya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Terdahulu, Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) bertanyakan soalan mengapa kerajaan masih belum menyatakan pendirian dan tindakan yang lebih tegas dalam isu konflik di Palestin seperti mendesak Perdana Menteri Isreal, Benjamin Netanyahu dihadapkan ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Beliau seterusnya meminta Menteri Luar mendedahkan negara yang berani menekan dan mengugut Perdana Menteri Malaysia serta menggesa kerajaan Malaysia menyerahkan nota bantahan kepada kedutaaan negara terbabit.

Zambry berkata, isu berkaitan Palestin telah pun dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengikut peruntukan dalam Statut Rom kerana Palestin menerima pakai Statut Rom sejak tahun 2015.

Menurut beliau, pada Mac 2021, pendakwa raya ICC mengumumkan membuka siasatan terhadap situasi Palestin dan dakwaan jenayah dilakukan oleh Israel sejak 13 Jun 2014 tanpa ada tempoh tamat.

“Justeru situasi Palestin sudah pun dalam proses siasatan ICC. Malaysia akan terus bekerjasama dengan negara anggota OIC dan negara-negara sepemikiran agar PBB rujuk kekejaman Israel bukan saja ke ICC, malah ke ICJ.

“Pada 30 Disember 2022, PBB telah terima pakai resulosi yuang meminta ICJ memberi pendapat nasihat berhubung isu-isu berkaitan Palestin.

“Lanjutan itu, Malaysia telah mengambil bahagian dengan mengemukakan kenyataan bertulis bagi mendapatkan pendapat nasihat berhubung isu Palestin yang telah diserahkan kepada pendaftar ICJ pada 25 Julai 2023,” katanya.

Tambah beliau, terkini Malaysia bercadang menyertai sesi lisan yang dijangka pada 10 Februari 2024 sekali gus melambangkan komitmen jitu dan berterusan Malaysia dalam membantu mencari penyelesaian konkrit terhadap konflik di Palestin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI