PETALING JAYA – Berpuluh tahun menyimpan kisah lama, penyanyi Siti Nordiana tampil dengan satu pendedahan pernah melalui cinta monyet dengan rakan duet yang juga vokalis Spin, Allahyarham Achik ketika berusia belasan tahun.
Menurutnya, pada peringkat awal ramai mengusik mereka sepadan sehingga gosip yang bertebaran membuatkan mereka malu-malu apabila bertembung, namun membuatkan hubungan menjadi semakin rapat.
“Sebenarnya itu cuma cerita lama, zaman cinta monyet dulu sewaktu saya masih remaja berumur 15, 16 tahun. Masa tu saya digosipkan dengan arwah Achik.
“Kalau pergi mana-mana, apabila digosipkan mesti kita ada rasa malu-malu dengan dia (tapi) kiranya macam dia memang ada hati kat saya masa itu.
“Saya tahu sebab selama ini dia pergi ‘show’ minat saya punya suara, jadi kita tahulah dia peminat kita, cuma sekejap saja kami bercinta,” katanya ketika ditemu bual sebuah program radio, baru-baru ini.
Begitupun, wanita berstatus ibu tunggal itu berharap tiada pihak salah faham memandangkan itu hanya kisah lampau, apatah lagi mereka memilih untuk berkawan baik saja selepas itu.
Malah teman duonya itu juga antara individu yang banyak memberikan sokongan ketika dia menempuh pelbagai dugaan terutama pada fasa perceraian dengan bekas suaminya, Allahyarham Faizal Yusop.
“Masa saya bercerai dulu Allahyarham banyak bagi semangat, ceriakan saya dengan lawaknya dan Achik sememangnya seorang kawan yang sangat baik,” ujarnya.
Menurut peserta Gegar Vaganza All Stars (GV10) itu, andai sahabatnya masih ada tentu saja dia juga pasti berada di gelanggang pertandingan yang sama.
“Saya rasa jika dia ada tentu dia masuk Gegar Vaganza. Dia pun selalu bagi kata-kata semangat kepada kawan lain,” kongsinya.
Duo antara Achik atau nama Abdillah Murad Md. Shari dengan Siti Nordiana Alias atau Nana bermula sejak tahun 2000 dan mereka telah merakamkan dua album.
Antara lagu popular pasangan terbabit adalah Gurauan Berkasih ciptaan Patrick Kamis disusuli Memori Berkasih, Resepi Berkasih, Paling Comel dan Mari Bermain Tali.
Achik menghembuskan nafas terakhir pada usia 28 tahun akibat kemalangan kereta di Lebuhraya Kajang-Seremban pada 17 April 2010. – KOSMO! ONLINE