PASIR PUTEH – Lebih 50 nelayan pesisir Pantai Kampung Pachakan, di sini, mula memindahkan bot dan sampan ke kawasan yang lebih selamat bagi menghadapi Monsun Timur Laut yang diramalkan berlaku dalam tempoh terdekat.
Seorang nelayan, Mohammad Ibrahim, 42, berkata, ketika Monsun Timur Laut berlaku, ombak akan lebih besar terutama semasa air pasang besar yang boleh menghanyutkan bot dan sampan serta pukat jika ditinggalkan di pesisir pantai.
Katanya, sampan dan peralatan menangkap ikan akan dibawa balik ke rumah masing-masing dengan menggunakan perkhidmatan jentera.
“Ini sudah menjadi rutin golongan nelayan, di sini setiap tahun.
“Sebahagian nelayan juga akan menambat bot dan sampan mereka di Terusan Semerak serta Kuala Besut yang merupakan lokasi selamat,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Menurutnya, sepanjang monsun selama tiga bulan itu akan menjadi musim yang perit buat golongan nelayan apabila mereka tiada punca pendapatan untuk menyara keluarga.
Katanya, semua nelayan bergantung sepenuhnya kepada Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 sebulan yang disalurkan kerajaan selain menggunakan sedikit wang simpanan.
Seorang lagi nelayan, Wan Hafiza Wan Hassan, 37, berkata, kebanyakan nelayan tiada simpanan wang yang banyak kerana pekerjaan itu umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
“Syukur kebajikan kami dibela dengan EHSN yang banyak meringankan bebanan dan kos sara hidup yang semakin meningkat,” ujarnya.
Monsun Timur Laut yang diramalkan bermula dari November hingga Mac sering membawa hujan lebat dan berisiko berlaku banjir besar terutamanya di negeri-negeri Pantai Timur.