BANDAR GAZA – Kakitangan perubatan di Hospital Naser berjaya menyelamatkan nyawa seorang bayi dengan melakukan pembedahan kecemasan selepas ibunya terbunuh akibat serangan udara tentera Israel di bandar Khan Yunis semalam, lapor laman berita WAFA.
Doktor Asa’d Nawajha dari jabatan penjagaan hospital itu berkata: “Kami menghadapi kisah kemanusiaan tragis yang berulang di Semenanjung Gaza akibat pengeboman Israel.”
Katanya, mayat seorang wanita hamil bernama Raneem Hijazi dibawa ke hospital itu pada pagi semalam akibat serangan udara askar Zionisl yang menyasarkan rumah penduduk di Khan Yunis.
Doktor segera melakukan pembedahan kecemasan dan berjaya menyelamatkan nyawa bayi tersebut. Bayi itu diletakkan di dalam inkubator dan kini dalam keadaan stabil.
Ranem adalah salah seorang daripada hampir satu juta penduduk yang dipindahkan dan terpaksa meninggalkan rumah mereka menuju ke selatan Semenanjung Gaza.
Laporan dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan menyatakan bahawa sekurang-kurangnya 130 bayi pramatang yang bergantung kepada inkubator berdepan risiko kematian disebabkan kekurangan sumber dan bekalan elektrik.
Selain itu, kira-kira 50,000 wanita hamil menghadapi cabaran dalam mengakses penjagaan kesihatan akibat serangan ke atas kemudahan kesihatan dan pekerja. – Agensi