fbpx

Cendawan, nostalgia inspirasi Stephen Neary

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
STEPHEN NEARY, pencipta animasi The Fungies!

THE FUNGIES! ialah kisah karakter animasi cendawan berwarna-warni yang hidup pada zaman prasejarah. Watak utamanya, Seth, merupakan cendawan berusia 10 tahun yang sangat meminati sains dan sentiasa terpesona memikirkan bagaimana dunia ini berfungsi.
Dia selalu ingin berkongsi pengalaman baharunya dengan semua penduduk di sebuah bandar animasi, Fungietown.
Mula ditayangkan di saluran Cartoon Network pada 14 November lalu, HibGlam berkesempatan menemu bual creator atau pencipta siri animasi berkenaan iaitu Stephen Neary baru-baru ini melalui satu panggilan telefon.
Bukan sahaja berperanan sebagai creator The Fungies!, Stephen atau nama lengkapnya, Stephen P. Neary turut bertindak sebagai penerbit eksekutif dan individu di sebalik suara watak bernama Pascal dalam siri animasi berkenaan.

HIBGLAM: Dalam banyak-banyak watak dalam The Fungies!, watak mana paling dekat dengan cita-cita Stephen sewaktu zaman kanak-kanak?
STEPHEN NEARY: Saya seperti Seth, saya mahu lakukan segala-galanya, mahu jadi artis, arkitek, saintis, jurutera dan angkasawan.
Saya amat sukakan animasi ketika kanak-kanak tetapi saya tidak pernah sangka hal itu akan menjadi satu pekerjaan.
Saya belajar di kolej dalam bidang perfileman, namun sepanjang masa, saya lebih cenderung ke arah lukisan papan cerita dan filem pendek.

Apa yang membuatkan anda berminat terhadap animasi?
Semasa belajar tentang filem, saya juga mengambil banyak kelas animasi. Saya buat latihan industri di Warner Bros. Ketika berusia 18 tahun, saya terlibat dalam animasi pertama, Teen Titans. Seronok dapat menyaksikan banyak lukisan dan kreativiti berlaku ketika itu. Sejak itu, fokus saya berubah dan saya mahu memberikan idea ke arah animasi. Kemudian saya mula melukis papan cerita untuk filem-filem cereka dan bekerja dengan Cartoon Network melalui penerbitan kartun perdana, Clarence.

CENDAWAN comel dalam The Fungies! digerakkan watak utamanya, Seth yang melalui sebuah dunia fantasi serba mengujakan bersama keluarga dan kawan-kawan. The Fungies! kini menemui penonton dalam saluran Cartoon Network sejak 14 November lalu.

Pernahkah anda terfikir akan mempunyai rancangan sendiri di Cartoon Network?
Mempunyai rancangan sendiri di Cartoon Network umpama satu mimpi menjadi kenyataan.
Cartoon Network boleh dikatakan umpama perkara yang saya sangat seronok buat kalau ada masa terluang. Saya bekerja untuk karya cereka pada siang hari, kemudian balik rumah dan bekerja untuk filem-filem pendek secara sampingan.

Bagaimana idea The Fungies! boleh menjadi realiti?
Ketika itu, saya tengok Wikipedia, terbaca tentang cendawan prasejarah dinamakan prototaxites yang hidup sejak 400 juta tahun dahulu dan mengubah atmosfera awal Bumi.
Itu membuatkan saya berfikir, bagaimana dunia ini ketika saya kecil. Kemudian membawa kepada idea betapa gembiranya saya apabila berada di luar, melihat tumbuh-tumbuhan bersama keluarga dan kawan-kawan. Saya gabungkan dua idea itu dalam The Fungies!

Adakah zaman kanak-kanak menjadi inspirasi anda?
Saya suka menjadi seorang kanak-kanak kerana semuanya rasa sangat jujur, penuh dan semula jadi. Saya inginkan kartun ini mempunyai aura zaman 1980-an dan 1990-an.
Kartun seperti Dexter’s Lab dan The Powerpuff Girls merupakan kegemaran saya dan memberi inspirasi kepada saya.

Adakah keluarga Seth serupa dengan keluarga anda dalam kehidupan realiti?
Keluarga Seth sangat serupa dengan keluarga saya. Saya mempunyai seorang abang dan dua adik perempuan. Kami sentiasa mengimbau kenangan kanak-kanak bersama. Saya membesar berkongsi bilik dengan abang dan dua orang adik perempuan yang macam pasangan kembar. Mereka suka ke hulur ke hilir dan memecahkan perkakas rumah.
Ibu saya Nancy merupakan inspirasi untuk watak Dr. Nancy. Sangat seronok dapat melawat semula zaman kanak-kanak dan buat rancangan daripada kebanyakan hal zaman tersebut.

Adakah anda menyuntik elemen pendidikan dalam animasi itu?
Kami mahu untuk memastikan kanak-kanak mempunyai penerangan atas setiap kejadian. Kami mahu mereka tengok persekitaran dan tanya soalan bagaimana sesuatu perkara boleh berlaku atau wujud di dunia ini.

Bagaimana produksi atau penggambaran The Fungies! sejak pandemik Covid-19?
Kami bekerja dari rumah. Semua berjalan lancar. Kami juga mempunyai ramai kru berbakat besar dan hebat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI