fbpx

Konflik Palestin-Israel: Hospital di utara Gaza lumpuh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang lelaki yang cedera memeluk anaknya ketika dirawat di Hospital Nasser, Khan Yunis, kelmarin. - AFP

BANDAR GAZA – Hospital-hospital di Gaza dengan kebanyakannya di bahagian utara lumpuh selepas kehabisan bekalan bahan api untuk menjana generator, lapor akhbar The Guardian.

Situasi itu berlaku ketika hospital-hospital bergelut menerima penduduk yang cedera atau terkorban serta orang awam yang membanjiri kemudahan perubatan bagi mencari perlindungan daripada pengeboman askar Israel sejak 7 Oktober lalu.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya enam buah hospital di Gaza terpaksa ditutup akibat kekurangan bahan api.

Ia merupakan pertambahan kepada hospital-hospital lain yang tidak dapat beroperasi kerana rosak akibat serangan udara askar Rejim Zionis.

“Melainkan bahan api dan bekalan kesihatan tambahan segera dihantar ke Gaza, ribuan pesakit kronik berisiko mati atau berdepan komplikasi apabila perkhidmatan kritikal ditutup akibat kekurangan bekalan kuasa,” kata WHO dalam satu kenyataan kelmarin.

Menurut WHO, adalah tidak mungkin untuk menghantar bahan api atau bekalan perubatan ke utara Gaza kerana kekurangan jaminan keselamatan. 

Tambahnya, tiada bahan api baharu dibenarkan masuk ke Gaza sejak 7 Oktober lalu bagi menggerakan generator hospital dan loji penyahgaraman serta pengepaman yang penting untuk sistem air.

Sejak beberapa hari lalu, pegawai bantuan optimis bahawa bahan api akhirnya akan disertakan dalam konvoi bantuan yang menyeberang dari Mesir. Namun pada petang semalam, jurucakap askar Israel, Daniel Hagari berkata, ia (bahan api) tidak dibenarkan memasuki Gaza.

Lebih 20 buah hospital di utara dan tengah Gaza yang mewakili sebahagian besar daripada perkhidmatan kesihatan di wilayah Palestin tersebut sebelum ini diarahkan berpindah oleh Rejim Zionis. Namun, doktor-doktor berkata, ia adalah mustahil untuk dilaksanakan.

“Kami tidak mempunyai bahan api untuk menggerakkan generator pengganti dan mereka yang paling terjejas adalah di bilik pembedahan, unit rawatan rapi dan wad kecemasan.

“Kami mempunyai angka korban besar-besaran di hospital-hospital yang berurusan dengan kes-kes pembedahan. Kakitangan hospital juga sudah keletihan dan kami tiada bekalan perubatan.

“Kami mengendalikan sejumlah pesakit di koridor hospital. Kami melakukan pembedahan pesakit di atas lantai menggunakan cahaya telefon bimbit. Sebahagian daripada pesakit pula dibedah tanpa ubat bius,” kata Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Gaza, Dr. Medhat Abbas.

Selain membedah pesakit hidup-hidup, doktor terpaksa menggunakan cuka dalam sesetengah kes sebagai menggantikan antiseptik.

Lebih memburukkan keadaan, hospital bukan sahaja dibanjiri beribu-ribu pesakit dengan luka traumatik akibat serangan udara yang berterusan.

Ia bahkan dipenuhi dengan puluhan ribu orang yang mencari tempat perlindungan, menjadikan situasi lebih sukar untuk doktor merawat mereka yang cedera.

Dalam satu video yang disiarkan semalam, hospital Indonesia di utara Gaza terputus bekalan elektrik sepenuhnya selepas generator gagal beroperasi.

Medhat berkata, pesakit-pesakit dari hospital yang dibina dengan dana daripada pemerintah Indonesia pada 2016 itu telah dipindahkan ke Hospital Al-Shifa yang sudah terlalu sesak.

“Hospital Shifa bukan seperti hospital lagi. Di mana-mana sahaja orang berbaring di atas lantai, tilam atau kadbod untuk mencari tempat perlindungan dan keselamatan. Hanya pintu masuk untuk ambulans bebas daripada pesakit,” katanya. – AGENSI 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI