fbpx

Konflik Palestin-Israel: Penduduk mula alami gejala penyakit berjangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Doktor memeriksa seorang lelaki dan dua kanak-kanak yang cedera akibat pengeboman Israel di hospital Nasser, selatan Semenanjung Gaza semalam. - AFP

BANDAR GAZA – Doktor di Gaza memaklumkan bahawa pesakit-pesakit yang tiba di hospital mula menunjukkan gejala-gejala penyakit yang disebabkan oleh kesesakan dan kelemahan sistem sanitasi selepas lebih 1.4 juta penduduk meninggalkan rumah mereka akibat serangan askar Israel.

Portal berita TRT World melaporkan, agensi-agensi bantuan berulang kali memberi amaran mengenai krisis kesihatan di kawasan perlindungan kecil yang kini menjadi sesak akibat sekatan Israel yang telah memutuskan bekalan elektrik, air bersih dan bahan api.

“Kesesakan orang awam dan hakikat bahawa kebanyakan sekolah digunakan sebagai tempat perlindungan yang menempatkan begitu ramai orang, menjadi lokasi penularan penyakit,” kata seorang doktor di Hospital Nasser di Khan Yunis, Nahed Abu Taaema.

Rejim Zionis sebelum ini mengarahkan penduduk yang tinggal di utara Semenanjung Gaza untuk berpindah ke selatan, namun serangannya telah meratakan daerah-daerah di seluruh enklaf itu.

“Pada waktu siang, keadaan amat panas ketika berada di dalam khemah selain lalat dan serangga memenuhi setiap ruang. Pada waktu malam, cuaca amat sejuk dan tidak cukup selimut untuk diberikan kepada semua orang.

“Kanak-kanak jatuh sakit, ada yang batuk-batuk, selesema dan demam pada waktu malam,” kata seorang pelarian yang berlindung di sebuah sekolah, Sojood Najm.

Dengan semua hospital kehabisan bahan api untuk menghidupkan generator elektrik, doktor memberi amaran bahawa beberapa peralatan kritikal seperti inkubator untuk bayi baru lahir berisiko terhenti.

Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza berkata, 40 pusat perubatan telah menggantung operasi ketika pengeboman dan perpindahan penduduk meningkatkan lagi tekanan pada sistem kesihatan di wilayah yang dibedil askar Rejim Zionis.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran bahawa satu pertiga daripada hospital di Gaza tidak beroperasi.

“Kami merayu agar operasi kemanusiaan yang berterusan dapat dipertingkatkan dan dilindungi,” kata Ketua Kecemasan Serantau WHO, Rick Brennan. – Agensi

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI