PETALING JAYA – Proses pendaftaran Perkahwinan Sivil oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang videonya tular di media sosial hari ini tidak melibatkan, tidak menyerupai, tidak melambangkan dan tidak dipengaruhi dengan mana-mana ritual keagamaan atau adat sesuatu kaum.
Malah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi kenyataannya menegaskan, sesi pendaftaran perkahwinan yang dijalankan di JPN Putrajaya itu adalah berlandaskan undang-undang sivil di bawah Akta 164.
“Lafaz ikrar yang dituturkan oleh pendaftar adalah perkataan yang terkandung dalam Seksyen 23, Akta 164 yang berbentuk keterangan sifat perkahwinan sivil semata-mata.
“Ianya juga persetujuan dan kesanggupan pasangan menerima perkahwinan tersebut dengan rela hati tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.
“Malah sesi pendaftaran Perkahwinan Sivil dengan menteri ini diadakan sebagai acara istimewa untuk pasangan terpilih ketika sambutan Hari Pendaftaran Negara setiap tahun,” menurut kenyataan itu hari ini.
Ia susulan video tular di media sosial yang memperlihatkan Saifuddin membaca lafaz ikrar pada Perkahwinan Sivil sempena Majlis Sambutan Jubli Intan JPN di Ibu Pejabat JPN Putrajaya, hari ini.
Menerusi penjelasan JPN, agensi tersebut bertanggungjawab melaksanakan pendaftaran perkahwinan sivil serta merekodkan maklumat perkahwinan dan perceraian bagi bukan Islam selaras dengan Akta Membaharui Undang-undang (Perkahwinan dan Perceraian) 1976 [Akta 164].
“Berdasarkan akta ini, Menteri Dalam Negeri merupakan menteri yang bertanggungjawab bagi pendaftaran perkahwinan sivil yang mana membolehkan beliau melakukan pendaftaran perkahwinan pasangan bukan Islam.
“Selain Menteri Dalam Negeri, Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Timbalan Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Pengarah Bahagian Perkahwinan dan Perceraian, Pengarah Pendaftaran Negeri serta pegawai dan kakitangan JPN yang bertugas di Bahagian Perkahwinan dan Perceraian sebagai Timbalan Pendaftar Perkahwinan turut diberikan kuasa tersebut,” kata kenyataan JPN.
Justeru, orang ramai perlu berhenti menyebarkan maklumat yang tidak benar dan meneliti setiap berita yang dibaca dan diterima bagi memastikan ketenteraman awam negara terus terpelihara. – KOSMO! ONLINE.