DEMI memartabatkan lagi kesenian batik tempatan, kerajaan mewajibkan penjawat awam berpakaian batik Malaysia pada setiap Khamis berkuat kuasa pada 21 Ogos lalu.
Namun, usaha itu akan menjadi sia-sia sekiranya masyarakat tidak pandai menilai rupa sebenar batik asli Malaysia dan tertipu dengan batik cetak tiruan.
Menurut Timbalan Ketua Pengarah Pembangunan Kraftangan Malaysia, Abdul Halim Ali, terdapat beberapa perbezaan ketara antara batik Malaysia dan batik cetak, antaranya adalah fabrik yang digunakan.
“Perbezaan paling ketara adalah batik cetak menggunakan fabrik daripada poliester, selain bahagian belakang kain juga tidak ditembusi warna.
“Batik jenis ini juga digelar salinan fotostat oleh pengusaha batik kerana lakaran corak atau motif yang seragam, kemas dan tidak memiliki cela,” katanya.
Untuk rekod, Kraftangan Malaysia mengakui bahawa mereka menerima maklumat orang awam yang meluahkan rasa kecewa di media sosial kerana terpedaya membeli batik cetak pada harga agak tinggi.
Mengulas perkara terbabit, Abdul Halim mendedahkan, pihaknya memandang serius perkara berkenaan dan pengusaha terlibat akan dikenakan tindakan.
“Kami dapati ada beberapa peniaga di bawah Kraftangan Malaysia menjual batik cetak.
“Kami sudah mengambil tindakan dengan memberi amaran kepada mereka.
“Sekiranya diulangi lagi, mereka akan digantung penyertaan serta tidak boleh lagi mengikuti mana-mana program promosi kami,” katanya.