KUALA SELANGOR – Ibu kepada Allahyarham Muhammad Damin Mikhail Kamsol berhasrat memfailkan saman ganti rugi terhadap dua remaja yang dikatakan menyebabkan kematian anaknya itu.
Hizanawati Abu Bakar, 49, berkata, tindakan saman tersebut itu sebagai pengajaran terhadap gurauan kasar dua remaja itu.
Katanya, dia tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan pada masa sama bagi menyedarkan dua remaja dan orang lain agar tidak mengulangi perbuatan sama.
“Ini melibatkan anak saya. Kalau berlaku kepada keluarga tertuduh apa perasaan mereka.
“Jadi, saya mungkin akan meneruskan kepada saman ganti rugi. Perkara ini akan dibincangkan bersama peguam saya nanti,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan mahkamah hari ini.
Hizanawati yang merupakan pemandu e-hailing tidak memasuki galeri mahkamah bagi mendengar prosiding sebutan pertuduhan sebaliknya diwakili peguam pemerhatinya, Johan Ariff Salim Khan.
Pada prosiding itu, Majistret Siti Hajar Ali menjatuhi hukuman khidmat masyarakat mencuci tandas selama 100 jam dalam tempoh enam bulan selain tidak dibenarkan keluar dari pukul 8 malam hingga 6 pagi dalam tempoh dua tahun.
Bercerita lanjut, Hizanawati memaklumkan kejadian menimpa anaknya itu meninggalkan kesan atau trauma mendalam kepadanya.
Ini termasuk lauk ikan sambal dan taucu yang digemari arwah anak kelima daripada enam beradik itu.
“Saya tidak pernah ke lokasi kejadian lagi. Sebelum ini, saya pernah melihat ada kesan tapak tangan pada cermin tingkap selain kesan kotoran pada dinding dipercayai arwah berdiri bersandar kemudian terduduk sebelum meninggal dunia.
“Memang sedih dirasakan dan berbekas teruk dalam hati ini (atas perbuatan dua remaja itu),” katanya.
Mengulas lanjut, wanita itu mendakwa apa yang diperkatakan dua remaja itu dalam mahkamah dengan dimaklukan kepadanya sebelum ini adalah berbeza.
“Saya diberitahu, tertuduh memberitahu mahkamah mereka cuba mengejut mangsa beberapa kali kerana saya yakin kalau itu tindakan yang dilakukan anak saya pasti selamat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE