fbpx

Dewan Rakyat: KKDW perkasa prasarana, ekonomi, sosial kurangkan penghijrahan belia luar bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) sentiasa menekankan aspek prasarana, ekonomi, sosial dan persekitaran dalam usaha mengurangkan penghijrahan golongan belia luar bandar ke kawasan bandar.

Timbalan Menterinya, Datuk Rubiah Wang berkata, usaha tersebut dilakukan menerusi program-program ekonomi dan keusahawanan yang melibatkan golongan belia.

“Ia merangkumi Program Peningkatan Pendapatan (PPP), Program Desa Lestari, Program Desamall, serta program-program bantuan keusahawanan Majlis Amanah Rakyat (Mara).

“KKDW melalui Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Felcra Berhad (Felcra) dan Lembaga Kemajuan Wilayah (LKW) turut melibatkan belia luar bandar dalam sektor pertanian dan penternakan supaya peluang pekerjaan dapat diberikan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib tentang usaha kementerian bagi mengatasi peningkatan kadar migrasi belia luar bandar ke kawasan bandar.

Selain itu katanya, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) atau dikenali sebagai TVET@KKDW turut dilaksanakan bagi tujuan sama.

“Terdapat sebanyak 280 institusi Pendidikan TVET@KKDW di seluruh negara yang menawarkan 529 program pendidikan TVET.

“Terdapat 15 kluster bidang kemahiran yang diberikan fokus oleh KKDW antaranya Keusahawanan & Teknousahawan, Pertanian & Agrikultur, Elektrik & Elektronik dan Minyak & Gas.

“Di samping itu, KKDW akan terus menyediakan infrastruktur dan prasarana lengkap serta mencukupi di luar bandar dalam menyokong pembangunan ekonomi selain mewujudkan persekitaran luar bandar yang kondusif,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI