fbpx

Lima klinik diserbu guna vaksin tifoid tidak berdaftar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara vaksin tifoid yang dirampas itu.

SHAH ALAM – Tindakan lima klinik perubatan swasta di negeri ini menggunakan vaksin tifoid tidak berdaftar mengundang padah apabila diserbu pihak berkuasa baru-baru ini.

Serbuan itu dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dengan melibatkan rampasan bernilai RM12,000 pada 18 Oktober lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, operasi itu dilakukan Cawangan Penguatkuasaan Farmasi (CPF) JKNS selepas menerima aduan dan maklumat orang awam.

Jelas beliau, hasil pemeriksaan mendapati lima klinik itu menggunakan vaksin tifoid tidak berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah Kementerian Kesihatan Malaysia (PBKD KKM).

“lndividu yang melakukan kesalahan boleh dikenakan hukuman di bawah Akta Jualan Dadah 1952 iaitu denda sehingga RM25,000 atau penjara tidak lebihi tiga tahun.

“Syarikat yang melakukan kesalahan sama pula boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 di bawah akta tersebut,” katanya hari ini.

Tambah Sha’ari, suntikan vaksin tifoid bertujuan mencegah penyakit demam kepialu dan merangsang sistem imunisasi badan dalam menghasilkan antibodi melawan jangkitan bakteria ‘Salmonella typhi’.

“Keluaran vaksin tanpa berdaftar dengan PBKD KKM tidak terjamin dari segi keberkesanan, keselamatan dan kualitinya. CPF JKNS telah merampas vaksin itu yang bernilai lebih RM56,000 dalam tempoh 2021 hingga tahun ini,” ujarnya.

Justeru, beliau menggalakkan orang ramai mengemukakan aduan dan maklumat meragukan kepada kementerian bagi bersama membanteras penjualan berkenaan.

“Ia boleh disalurkan melalui http://www.pharmacy.gov.my atau portal Sistem Pengurusan Aduan Agensi Awam (SisPAA) di http://moh.spab.gov.my dan hubungi talian 03-78413200,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI