GEORGE TOWN – “Saya tak salah, ada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di dalam rumah”.
Demikian menurut seorang pemuda berusia 26 tahun yang nekad terjun di Kilometer 7.4 Jambatan Pulau Pinang, dari pulau menghala ke Perai, pagi tadi.
Sebelum itu, lelaki terbabit dikatakan meninggalkan motosikal yang dia tunggang di tepi tembok jambatan berkenaan.
Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Fairol Mahazi Malek berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 4.26 pagi tadi.
Menurutnya, sebaik pasukannya tiba di tempat kejadian mendapati mangsa sedang berdiri di tebing jambatan dalam keadaan ketakutan dan trauma.
“Usaha memujuk mengambil kira-kira 20 minit. Mangsa sebelum itu enggan memberi kerjasama dengan pihak bomba dan hanya memandang ke arah bawah.
“Tindakan anggota adalah dengan menenangkan mangsa dan memujuknya. Namun, mangsa acap kali berkata yang dia tidak bersalah dan ada CCTV dalam rumah,” katanya kepada Kosmo! di sini, sebentar tadi.
Beritahu Fairol, tindakan anggota bomba adalah dengan melakukan ikatan penyelamat (water knot) untuk memastikan keselamatan anggota dan mangsa berjaya diselamatkan serta dibawa ke tempat yang selamat.
Tambahnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, seorang wanita berjaya diselamatkan nelayan pantai selepas bertindak terjun dari Kilometer 3.4 Jambatan Pulau Pinang, dari Perai menghala ke pulau, kira-kira pukul 7 malam semalam.
Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di talian 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999. – KOSMO! ONLINE