WASHINGTON – Penghantaran kapal-kapal perang China ke Asia Barat adalah sebahagian daripada misi muhibah Beijing ke rantau tersebut dan bukan untuk campur tangan dalam konflik Israel-Palestin, lapor portal berita Global Times semalam.
Jurucakap Kedutaan China di Amerika Syarikat (AS), Liu Pengyu berkata, spekulasi tidak berasas mengenai penempatan kapal-kapal perang China di Asia Barat ketika perang Israel dan Palestin tercetus perlu dihentikan.
Komen Pengyu dibuat selepas media Barat menyiarkan berita bahawa China menghantar enam kapal perang ke Asia Barat pada minggu lalu, manakala kerahan itu mempunyai kaitan dengan perang berterusan antara Israel dan Hamas di Gaza.
Menurut Tentera China, pasukan khas pengiring Tentera laut China ke-44, termasuk kapal pemusnah peluru berpandu Zibo, kapal frigat peluru berpandu Jingzhou dan kapal pengisian semula, Qiandaohu tiba di Pelabuhan Shuwaikh, Kuwait pada 18 Oktober lalu untuk lawatan muhibah selama lima hari.
Sebelum ini, Beijing mendedahkan bahawa pasukan khas pengiring Tentera Laut China ke-45, termasuk kapal pemusnah peluru berpandu Urumqi, kapal frigat peluru berpandu Linyi dan kapal pengisian semula, Dongpinghu dijadualkan mengambil alih misi pengiring daripada armada Tentera Laut ke-44 di Teluk Aden serta perairan Somalia.
Profesor di Institut Pengajian Asia Barat Universiti Pengajian Antarabangsa Shanghai, Ding Long memberitahu akhbar Global Times bahawa tidak seperti AS, China tidak akan sesekali memilih campur tangan ketenteraan untuk menyelesaikan pertikaian antarabangsa. – AGENSI