fbpx

Usah letak tekanan pada Aaron-Wooi Yik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REXY (dua dari kiri) menggesa semua pihak memberi ruang kepada Aaron-Wooi Yik bermain dengan cara mereka sendiri dan tidak meletakkan tekanan terlalu tinggi.

PENGARAH Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky berharap semua pihak tidak meletakkan tekanan terlalu tinggi terhadap beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

Ahad lalu, bekas juara dunia itu menamatkan penantian dalam saingan Jelajah Dunia BWF (Persekutuan Badminton Dunia) apabila meraih gelaran sulung selepas memenangi kejohanan Terbuka Denmark.

Bagaimanapun, Rexy menggesa semua pihak supaya memberi ruang kepada Aaron-Wooi Yik bermain dengan cara mereka sendiri dan tidak meletakkan harapan terlalu tinggi yang boleh mengakibatkan tekanan.

“Seeloknya kita jangan letak harapan terlalu besar kepada mereka. Belajar dari apa yang berlaku sebelum ini, apabila letak harapan terlalu besar, ia membuatkan pemain itu berdepan tekanan cukup tinggi.

“Kita biarkan sahaja mereka buat apa yang mereka tahu. Pemain-pemain sudah ada pengalaman masing-masing, jadi kita tidak mahu untuk letak harapan tinggi kepada mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Terdahulu, Aaron-Wooi Yik melakar sejarah tersendiri apabila meraih gelaran Jelajah Dunia pertama dengan memenangi Terbuka Denmark selepas menewaskan wakil Indonesia, Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana 21-13, 21-17.

Kejuaraan itu dianggap sebagai pelengkap buat beregu No.4 dunia itu memandangkan mereka sudah pun memiliki gelaran juara dunia selain merangkul pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Meskipun enggan meletakkan sebarang tekanan ke atas anak-anak buahnya, namun Rexy tetap akan membuat penilaian terhadap prestasi Aaron-Wooi Yik dalam latihan selain sentiasa memberi peringatan kepada beregu berkenaan.

“Kita tidak letak apa-apa harapan tetapi yang penting adalah bagaimana kita buat penilaian terhadap latihan mereka dan beri peringatan mengenai apa sahaja perkara yang membuatkan mereka sentiasa fokus,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI