fbpx

AirAsia capai Tujuh Bintang Terbaik untuk Penilaian Kesihatan Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SEPANG – AirAsia mendapat pengiktirafan selepas dianugerahkan tujuh bintang teratas bagi penilaian kesihatan Covid-19 dari pakar keselamatan penerbangan Airlineratings.com.

Penganugerahan itu diberikan berikutan pelaksanaan inovasi industri bagi menjadikan penerbangan lebih lancar dan bersih.

Seperti yang digariskan di laman web Airlineratings.com, syarikat penerbangan dinilai berdasarkan tujuh kriteria termasuk maklumat laman web mengenai prosedur Covid-19, pemakaian topeng muka dan peralatan pelindungan diri untuk kru.

Selain itu, kriteria lain ialah perkhidmatan makan yang diubah suai, pembersihan pesawat secara berkala, alat pembersih peribadi dan jarak sosial di atas kapal.

Kriteria tersebut ditetapkan oleh International Air Transport Association (IATA), International Civil Aviation Organisation (ICAO) dan World Health Organisation (WHO) mengenai garis panduan keselamatan serantau dan antarabangsa.

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan AirAsia, Javed Malik berkata, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada pakar penerbangan di Airlineratings.com atas pengiktirafan yang diberi.

Beliau berkata, keutamaan yang ditetapkan selama ini adalah untuk memastikan perjalanan udara tidak hanya selamat dan berpatutan, tetapi juga lebih mudah, lancar dan bersih.

“Kejayaan ini merupakan bukti hebat bagi semua kerja keras yang dilaksanakan dengan bekerja lebih masa untuk terus merevolusikan perjalanan udara, mengurangkan kos dan meningkatkan pengalaman tetamu dan penumpang,”katanya menerusi kenyataan akhbar di sini.

Mengulas lanjut, katanya, awal minggu ini, AirAsia telah mengumumkan inovasi terbaharu dikenali Scan2Fly, teknologi terkemuka di industri yang dapat menentukan kelayakan penumpang untuk terbang sebelum mereka tiba di lapangan terbang, termasuk pengesahan masa nyata dari dokumentasi kesihatan yang relevan.

“Dengan Scan2Fly, pelanggan AirAsia dapat mengimbas dan memuat naik sijil perubatan mereka semasa proses daftar masuk sendiri dalam talian.

“Ini termasuk pemprosesan dokumen yang diperlukan untuk mengesahkan sama ada penumpang diluluskan untuk terbang oleh pelbagai pihak berkuasa dan memiliki Sijil Negatif Covid-19 yang sah.

“Setelah dokumen dimuat naik, laporan akan diberikan secara automatik dengan status persetujuan atau penolakan masa nyata, termasuk alasan penolakan.

Katanya lagi, selain itu, AirAsia juga mengesahkan banyak perkhidmatan baharu ditawarkan antaranya penurunan beg automatik, teknologi bergerak untuk pemeriksaan suhu, dan teknologi pengecam wajah biometrik F.A.C.E.S. (Sistem Pengalaman Pelepasan Lapangan Terbang Cepat) – sistem pemprosesan penumpang pengecam wajah tanpa sentuhan syarikat penerbangan.

Beliau berkata, syarikat penerbangan juga berusaha untuk menggunakan lebih banyak sistem pengalaman tanpa sentuhan lain seperti pengurusan identiti digital di seluruh ekosistem perjalanan dan kewangan syarikat penerbangan.

“Pelbagai lagi inovasi transformasi digital dalam pembangunan, yang akan diumumkan pada waktunya,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI