fbpx

KKM kesan lima produk kosmetik ada racun berjadual

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Radzi

PUTRAJAYA- Kementerian Kesihatan (KKM) melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengesan sebanyak lima produk kosmetik mengandungi racun berjadual termasuk merkuri dan asid azelaik.

Lima produk kosmetik terbabit adalah Skinsister Babyskin Treatment Cream, Sahaana Fairness Cream, Skinmade AZ & Salicylic Acid + Licorice Root Serum, Glowing Night Cream serta Glowing Herba Night Cream.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, susulan itu, notifikasi produk kosmetik terlibat telah dibatalkan oleh KKM dan tidak lagi dibenarkan dijual di Malaysia.

“Merkuri dilarang dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau yang belum dilahirkan. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi dan perubahan lain pada kulit.

“Produk mengandungi asid azelaik, hydroquinone, tretinoin dan betamethasone 17-valerate pula perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Mengulas lanjut, katanya, penjual dan pengedar produk kosmetik terlibat perlu menghentikan penjualan dan pengedaran produk dengan serta-merta.

“Penjualan dan pengedaran produk kosmetik ini adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu melakukan kesalahan bawah peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya.

“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” tegasnya.

Katanya, orang awam yang sedang menggunakan produk kosmetik itu dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat daripada ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI